KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang digesa mendedahkan peruntukan dalam perlembagaan Perikatan Nasional (PN) yang membolehkan pengguguran automatik parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada gabungan politik itu.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, berdasarkan bacaan dan pemerhatiannya, peruntukan sedemikian tidak ada dalam Perlembagaan PN.
“Kalau ada, elok Presiden Pas TS Hj Hadi Awang tunjukkan fasal mana, perkara berapa yang menyatakan keanggotaan BERSATU “tergugur secara automatik”. Mungkin Pengerusi PN juga boleh bantu Hj Hadi cari.
“Kalau ada fasal tu, tunjukkan. Kalau tak ada, jangan pula direka-reka fasal baru.
“Mungkin Hj Hadi sebenarnya merujuk Perlembagaan PAS, sebab dia sebut “perlembagaan kita pun bila orang masuk parti lain, maka keluarlah,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Sementara itu, Tun Faisal mengingatkan bahawa Perlembagaan PN tidak sama dengan Pas dan cara menguruskan PN juga tidak sama dengan cara menguruskan Pas.
Setakat ini, ujarnya, Pas yang memutuskan hubungan dengan Bersatu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebelum mengetepikan pula hak Bersatu sebagai parti anggota dengan tidak dilibatkan dalam rundingan kerusi PRN Negeri Sembilan.
“Bersatu hanya bertanding dalam PRN Negeri Sembilan selepas tidak dilibatkan dalam rundingan walaupun sebagai anggota PN.
“Setakat ni yang banyak langgar Perlembagaan PN ini Pas. Keputusan MT PN pun Pas langgar,” katanya.
Terdahulu, Abdul Hadi hari ini mendakwa Bersatu terkeluar secara automatik daripada PN susulan hasrat parti itu untuk membentuk gabungan baharu.
Abdul Hadi berkata, PN tidak perlu membuat pemberitahuan secara rasmi kepada Bersatu berhubung kedudukannya dalam gabungan itu kerana parti berkenaan dianggap terkeluar dengan sendirinya selepas menyatakan hasrat untuk membentuk gabungan lain.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan menolak kenyataan Abdul Hadi itu dan menegaskan parti berkenaan masih merupakan anggota sah PN memandangkan tiada mana-mana fasal dalam Perlembagaan PN yang memperuntukkan keanggotaan parti anggota tergugur dengan sendirinya. – MalaysiaGazette
















