KUALA LUMPUR – Peguam Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan bekas Perdana Menteri itu perlu menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker) selepas pemeriksaan menggunakan alat pemantau Holter mengesan masalah pada jantungnya ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, perkembangan itu menyebabkan cadangan untuk membacakan pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bera berkenaan di IJN tidak praktikal memandangkan beliau perlu menjalani prosedur berkenaan.
Menurut beliau, Ismail Sabri mengalami masalah kesihatan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
Katanya, bekas Perdana Menteri itu berada di ibu pejabat SPRM dari jam 9 pagi hingga 6 petang sebelum dikejarkan ke IJN untuk mendapatkan rawatan.
“Doktor yang merawat mengesahkan anak guam saya mempunyai masalah kesihatan.
“Mesin Holter yang dipasang turut mengesan terdapat masalah pada jantung yang memerlukan siasatan serta rawatan lanjut,” katanya hari ini kepada media.
Beliau berkata, susulan penemuan itu, Ismail Sabri dijadual menjalani prosedur pemasangan perentak jantung selepas solat Jumaat dan sedang berpuasa sebagai persediaan sebelum prosedur yang dijangka bermula antara jam 2 hingga 3 petang.
“Kami berharap semuanya berjalan lancar dan Datuk Seri Ismail segera pulih,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Amer Hamzah berkata, Ismail Sabri sememangnya mempunyai sejarah masalah kesihatan selepas terjatuh kira-kira dua minggu lalu sehingga dimasukkan ke Hospital Pantai.
“Malah, beliau telah dijadualkan menjalani pemeriksaan susulan pada Isnin depan,” katanya.
Walaupun memberi keutamaan kepada rawatan ketika ini, Amer Hamzah berkata, Ismail Sabri tetap berhasrat membersihkan namanya daripada pertuduhan yang bakal dihadapinya sebaik keadaan kesihatannya mengizinkan.
“Sudah tentu beliau mahu membersihkan namanya. Namun, perkara utama yang berada dalam fikirannya ketika ini ialah kesihatannya.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar beliau segera sembuh,” katanya.
Beliau berkata, selepas prosedur selesai dan keadaan Ismail Sabri stabil, pihak pembelaan bersedia hadir ke mahkamah bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjawab pertuduhan yang bakal dihadapinya.
“Buat masa ini, biarlah beliau menjalani prosedur itu terlebih dahulu. Selepas semuanya selesai dan keadaan beliau stabil, kami lebih bersedia untuk hadir ke mahkamah bagi menjawab pertuduhan terhadap beliau,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menangguhkan prosiding pembacaan pertuduhan terhadap Ismail Sabri ke 27 Ogos selepas mengambil kira keadaan kesihatannya yang sedang menerima rawatan di IJN.
Beliau disiasat SPRM berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perbelanjaan serta perolehan dana bagi tujuan promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika menjadi Perdana Menteri.
Siasatan itu turut menyaksikan SPRM merampas wang tunai pelbagai mata wang dianggarkan berjumlah RM170 juta serta menyita 16 kilogram jongkong emas bernilai hampir RM7 juta daripada beberapa lokasi yang dikaitkan dengan siasatan. -MalaysiaGazette
















