KLUANG – Projek pembinaan Klinik Kesihatan Bandar Kluang di tapak hospital lama di sini yang bermula pada Mac 2025 akan dapat menyelesai masalah kesesakan pesakit di Klinik Kesihatan Mengkibol ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, projek pembinaan klinik berkenaan akan mengambil masa empat tahun.
Menurutnya, antara punca utama kesesakan itu adalah penutupan di Jabatan Pesakit Luar di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di bandar ini yang menerima pesakit mempunyai temu janji sahaja.
“Keadaan ini menyebabkan pesakit biasa terpaksa mendapatkan khidmat rawatan di Klinik Kesihatan Mengkibol dalam kapasiti yang banyak sehingga berlaku kesesakan.
“Tempoh empat tahun bukanlah satu tempoh yang singkat untuk itu kita berharap HEBHK dapat menimbang semula keputusan menutup Jabatan Pesakit Luar untuk sementara waktu sehingga klinik baharu itu siap nanti.
“Melihat keadaan semasa di klinik itu, rakyat amat mengharapkan pembinaan klinik baharu ini dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan atau lebih awal dari tarikh sebenar
“Difahamkan ada pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan namun diharapkan mereka bersabar menghadapi situasi ini,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Santai Makan Tengahari bersama media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Syed Hussien berkata, kira-kira 80 peratus projek pembangunan kerajaan negeri yang dilaksanakan dalam kawasan Mahkota berjaya disiapkan sejak 2022 lalu.
Bagaimanapun, ujarnya, beberapa pagi projek pembangunan seperti Rancangan Tebatan Banjir Sungai Melantai selain bantuan lain berkaitan kebajikan rakyat akan diteruskan secara berperingkat sepanjang penggal ini. – MalaysiaGazette
















