khairat BKM
Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di Persiaran Rimba Permai, Cyber 8, Cyberjaya. Foto arkib Malaysia Gazette

PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memulakan siasatan terhadap individu yang dikenal pasti berdasarkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan dijalankan berdasarkan analisis risiko percukaian, yang mengesan ketidaksepadanan antara pemilikan aset dengan jumlah pendapatan yang dilaporkan individu berkenaan.

Menurut kenyataan itu, LHDN telah mengadakan serbuan ke beberapa premis berkaitan bagi mendapatkan maklumat, membuat semakan dokumen dan mengesahkan fakta yang berkaitan dengan siasatan tersebut.

“LHDN ingin menjelaskan setiap tindakan semakan dan siasatan dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berlandaskan peruntukan undang-undang percukaian yang berkuat kuasa tanpa sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.

“Sebarang tindakan lanjut hanya akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan, penelitian maklumat serta bukti yang diperoleh sepanjang proses semakan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Pada 29 Julai, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast