KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mempersoalkan bagaimana bahan terlarang didakwa boleh lolos pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dikesan pihak berkuasa Indonesia, sambil menggesa siasatan bebas, dan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, persoalan itu timbul susulan kenyataan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani yang menjelaskan sistem pengimbas keselamatan di lapangan terbang tidak direka untuk mengklasifikasikan dadah, sebaliknya hanya mengesan ancaman seperti bahan letupan dan senjata api.
Menurut beliau, penjelasan itu menimbulkan persoalan sama ada bahan terlarang berpotensi melepasi saringan sekiranya imej yang dipaparkan tidak menimbulkan syak kepada pegawai Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) yang menjalankan pemeriksaan.
“Jika benar keadaan itu berlaku, ia adalah perkara yang amat membimbangkan kerana melibatkan pintu sempadan utama negara.
“Rakyat berhak mengetahui sama ada sistem keselamatan sedia ada benar-benar mampu menghalang penyeludupan bahan terlarang,” katanya kenyataan hari ini.
Hishamuddin berkata, antara persoalan utama yang perlu dijawab ialah mengapa bagasi yang didakwa melepasi pemeriksaan di KLIA hanya berjaya dikesan selepas tiba di Indonesia, sedangkan pengesanan lebih awal sebelum pesawat berlepas sudah tentu lebih baik bagi mengelakkan insiden tersebut.
Menurutnya, siasatan juga perlu menjawab sama ada kejadian itu berpunca daripada kekangan teknologi mesin pengimbas, kelemahan prosedur operasi standard (SOP), kecuaian dalam pelaksanaan pemeriksaan atau wujud unsur salah laku serta isu integriti yang memerlukan tindakan lanjut.
Beliau berkata, dalam era kecerdasan buatan (AI) dan teknologi keselamatan yang semakin canggih, rakyat mengharapkan sistem keselamatan negara sentiasa diperkasakan dengan teknologi terbaik bagi membantu mengesan ancaman.
Ini termasuk bahan terlarang, di samping pemeriksaan fizikal, risikan serta kepakaran pegawai keselamatan.
Katanya, persoalan sama juga timbul terhadap sistem saringan di pintu masuk lain termasuk pelabuhan dan sempadan darat sekiranya benar mesin pengimbas sedia ada mempunyai kekangan untuk mengesan dadah.
“Rakyat berhak mengetahui sama ada sistem saringan negara benar-benar mencukupi untuk menangani ancaman penyeludupan dadah atau sudah tiba masanya teknologi dan prosedur keselamatan diperkasakan,” tegasnya.
Hishamuddin berkata, kebimbangan itu bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan memandangkan MHO telah mengendalikan pelbagai kes membabitkan rakyat Malaysia yang dieksploitasi sindiket jenayah rentas sempadan, termasuk mangsa pemerdagangan orang, sindiket penipuan serta diperalatkan sebagai keldai dadah.
Menurut beliau, sekiranya benar terdapat kelemahan dalam sistem saringan atau kawalan keselamatan di pintu sempadan utama negara, keadaan itu dikhuatiri membuka ruang kepada sindiket jenayah antarabangsa untuk terus mengeksploitasi rakyat Malaysia membawa bahan terlarang ke luar negara.
Sehubungan itu, katanya, siasatan yang dijalankan bukan sahaja perlu meneliti aspek teknologi dan prosedur keselamatan, malah turut menilai sama ada sistem sedia ada benar-benar mampu melindungi rakyat daripada terus menjadi mangsa sindiket jenayah rentas sempadan.
Beliau berkata, MHO menggesa kerajaan, Malaysia Airports, pihak berkuasa penerbangan serta semua agensi berkaitan menjalankan siasatan secara bebas, menyeluruh dan telus serta mengumumkan hasil siasatan kepada orang ramai.
“Penjelasan perlu diberikan sama ada isu ini berpunca daripada had keupayaan teknologi, kelemahan prosedur operasi, kecuaian pelaksanaan atau faktor integriti.
”Jika terdapat kelemahan, tindakan pembetulan mesti dilaksanakan tanpa sebarang kompromi,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















