Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan Ogos Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Pas yang mengetuai gabungan Perikatan Nasiolan (PN) perlu mempertimbangkan secara mendalam sekiranya mahu menerima Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘poster boy’ bagi kerjasama Barisan Nasional (BN) PN pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kata aktivis politik, Lokman Bonyamin.

Menurutnya, sebagai parti dominan dalam kerjasama yang sedang dirintis antara BN dan PN, Pas perlu mengambil kira penerimaan rakyat terhadap Presiden UMNO itu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata, Ahmad Zahid hampir tewas di kerusi Parlimen Bagan Datuk pada pilihan raya lalu susulan persepsi pengundi terhadap kes mahkamah yang pernah dihadapinya, sekali gus berpotensi menjejaskan sokongan jika dijadikan wajah utama gabungan berkenaan.

“Jika BN-PN meletakkan Ahmad Zahid sebagai poster boy, pastinya ia akan mengundang penolakan rakyat dan ia akan memberi kelebihan buat Pakatan Harapan (PH),” katanya pada Jumaat.

Bagaimanapun, Lokman berpandangan BN dan PN masih boleh menjalinkan persefahaman pilihan raya tanpa perlu membentuk gabungan rasmi.

Katanya, pendekatan itu mampu mengelakkan pertindihan kerusi antara kedua-dua gabungan, selain memberi ruang kepada setiap parti menampilkan ‘poster boy’ masing-masing.

“BN-PN boleh menjalinkan persefahaman serta kerjasama pilihan raya tanpa membentuk gabungan rasmi. Pendekatan ini bertujuan mengelakkan pertindihan kerusi yang ditandingi oleh kedua-dua pihak.

“Sehubungan itu, setiap parti bebas menampilkan ‘poster boy’ masing-masing. Soal calon Perdana Menteri pula hanya akan dirundingkan selepas keputusan PRU16 diperoleh,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid secara sinis mengulas kenyataan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang mencadangkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU16.

Aktivis Pas, Lokman Bonyamin
Aktivis Pas, Lokman Bonyamin

Mengulas perkara itu, Lokman berkata, cadangan menamakan Hamzah sebagai calon Perdana Menteri hanyalah pandangan peribadi Saifuddin dan tidak semestinya mencerminkan pendirian mana-mana gabungan politik.

Beliau turut mengulas dakwaan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengenai unjuran yang meramalkan Ahmad Zahid berpotensi menjadi Perdana Menteri ke-11 sekiranya UMNO bergabung dengan PH dan mendominasi kerajaan selepas PRU16.

“Setiap parti mempunyai hak menentukan pendekatan politik masing-masing, sama ada bertanding secara solo atau menjalinkan persefahaman dengan mana-mana parti.

“Keputusan itu boleh dibuat sebelum PRU16, manakala sebarang kerjasama lanjutan atau pembentukan kerajaan selepas pilihan raya bergantung kepada keputusan PRU16 serta rundingan antara parti-parti yang terlibat,” katanya.

Khairy sebelum ini berkata situasi politik semasa yang menyaksikan beberapa parti berdepan perpecahan dalaman memberi kelebihan kepada UMNO yang dilihat lebih stabil ketika ini sekaligus merapatkan peluang Ahmad Zahid untuk menjawat jawatan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast