Bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pengakuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan direkodkan di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Perkara itu disahkan peguam beliau, Ragunath Kesavan ketika dihubungi media pagi ini.

Menurutnya, Timbalan Pendakwa Raya akan memohon kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur supaya prosiding merekodkan pengakuan Ismail Sabri dijalankan di IJN selepas pusat perubatan berkenaan diisytiharkan sebagai Mahkamah Sesyen.

“Ya, beliau kini berada di IJN. Timbalan Pendakwa Raya akan memohon supaya pengakuan direkodkan di sana,” katanya sebentar tadi.

Beliau berkata, pihak pendakwaan dan pembelaan bagaimanapun akan hadir terlebih dahulu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi mendapatkan perintah mahkamah sebelum prosiding diteruskan di IJN.

Difahamkan, Ismail Sabri akan berdepan pertuduhan berkaitan kes pengisytiharan harta yang disiasat oleh SPRM.

Terdahulu, pengamal media mula berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta seawal pukul 7 pagi bagi mengikuti prosiding pendakwaan bekas Perdana Menteri itu yang pada asalnya dijadual berlangsung di Mahkamah Sesyen.

Pagi ini, salah seorang pegawai khas kepada Ismail Sabri turut mengedarkan sekeping gambar yang memaparkan beliau sedang menerima rawatan di IJN.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut diberikan mengenai keadaan kesihatan atau rawatan yang sedang diterimanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bera itu telah beberapa kali hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan terhadap pengisytiharan hartanya.

Pada Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata siasatan terhadap Ismail Sabri menjurus kepada dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana bagi tujuan promosi dan publisiti ketika beliau menerajui pentadbiran negara.

Dalam siasatan sama, SPRM dilaporkan merampas wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta.

Rampasan itu dilakukan menerusi beberapa siri penggeledahan di beberapa premis termasuk kediaman dan lokasi yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ susulan siasatan terhadap empat bekas pegawai kanan beliau.

Setakat pukul 9.30 pagi, belum ada sebarang perkembangan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung permohonan untuk merekodkan pengakuan Ismail Sabri di IJN. Pengamal media masih menunggu pengumuman rasmi daripada pihak mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast