KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut ketika cuba mengelak sebuah van dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 23.9 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang tular di media sosial itu jam 1.06 tengah hari.
“Hasil siasatan mendapati, sebuah van Mitsubishi L300 telah berhenti di lorong paling kiri daripada empat lorong disyaki terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah lagi kenderaan lain.
“Penungang motosikal Honda Vario yang ditunggang seorang lelaki datang dari arah sama dipercayai cuba mengelak van tersebut, namun gagal sebelum terbabas dan terjatuh di lorong tengah.
“Beberapa saat kemudian, sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa yang terbaring di atas jalan sebelum penunggangnya turut terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kejadian itu, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penunggang Yamaha Y15ZR mengalami kecederaan pada bahagian bahu dan kini menerima rawatan di Hospital Serdang.
“Pemandu van Mitsubishi L300 pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















