Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Eusoff Chin.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Mohamed Eusoff Chin telah mencurahkan khidmat yang besar dalam memperkukuh institusi kehakiman negara.

Sambil mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, Perdana Menteri berkata, negara akan terus mengenang jasa dan sumbangan beliau dalam perjalanan kerjayanya.

“Semoga Allah mengampuni segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmatNYA serta menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Allahyarham yang dilahirkan pada 10 Mei 1936, menghembuskan nafas terakhir pukul 1 pagi di Hospital KPJ Damansara dekat sini.

Sementara itu, Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau mewakili seluruh pegawai dan kakitangan badan kehakiman turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

Beliau berkata, Allahyarham telah menyumbang kepada negara dengan penuh dedikasi sepanjang kariernya dalam membangunkan sistem perundangan negara dan pentadbiran keadilan.

Berita pemergian Allahyarham pada usia 90 tahun dikongsi oleh anaknya, Zuliana Mohamed Eusoff yang mana bapanya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Al-Hidayah, Kelana Jaya untuk dimandikan dan disembahyangkan selepas solat Jumaat hari ini.

Allahyarham kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara dekat sini pukul 3.30 petang.

Allahyarham dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada September 1994 dan menyandang jawatan tertinggi badan kehakiman itu sehingga persaraan pada Disember 2000.

Sepanjang perkhidmatannya, Allahyarham memainkan peranan penting dalam institusi kehakiman negara dan pernah mengetuai badan kehakiman Malaysia selama lebih enam tahun.

Allahyarham memulakan kerjayanya pada 1955 sebagai guru sebelum melanjutkan pelajaran di London.

Beliau memperoleh ijazah sebagai peguam daripada Lincoln’s Inn, London pada 1963.

Selepas itu, beliau menyertai perkhidmatan undang-undang dan kehakiman dan memegang pelbagai jawatan termasuk Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya, Penolong Pendaftar, Penasihat Undang-undang dan Penggubal Undang-Undang, Hakim di Malaya dan Presiden Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast