KLUANG – Seorang remaja perempuan maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka melanggar sebatang pokok di Kilometer 33.2 Jalan Kluang-Teck Wah Hing dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian itu berlaku pukul 2.30 petang melibatkan motosikal Honda EX5.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku semasa motosikal berkenaan yang ditunggang seorang wanita tempatan berusia 19 tahun bersama-sama rakannya wanita tempatan berusia 18 tahun dalam perjalanan dari pekan Layang Layang menghala ke Ladang Ulu Remis.
“Semasa tiba di tempat kejadian motosikal tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri lalu melanggar sebatang pokok di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, penunggang motosikal itu cedera parah di bahagian leher dan badan, manakala pembonceng cedera ringan di bahagian kepala dan badan.
Katanya, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini dengan ambulans.
“Penunggang motosikal meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi HEBHK pada pukul 4 petang tadi semasa menerima rawatan, manakala pembonceng masih menerima rawatan di hospital yang sama,” ujarnya.
Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kemalangan ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Tambahnya, orang ramai juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melalui talian hotline 07-7784222, 07-7766822 atau 07-7784256, 014-365682.- MalaysiaGazette















