Gambar: Ihsan JIM

KUALA LUMPUR — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket Flying Pasport selepas menahan tiga individu berusia antara 33 hingga 41 tahun dalam operasi di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Johor semalam.

Operasi yang bermula pukul 10 pagi itu membabitkan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta JIM Negeri Johor.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kejayaan itu hasil tindakan susulan JIM berdasarkan perkembangan siasatan Op Crack yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Dalam operasi tersebut, pasukan penguat kuasa turut menyita beberapa barangan termasuk telefon bimbit, kunci premis, barang kemas, cap keselamatan imigresen serta wang tunai RM20,000.

“Modus operandi sindiket adalah dengan mengumpulkan pasport milik warga asing tanpa memerlukan kehadiran fizikal pemilik dokumen berkenaan di pintu masuk negara.

“Salinan muka hadapan pasport kemudiannya dihantar oleh ejen sindiket menerusi aplikasi WhatsApp kepada individu yang bersekongkol dengan sindiket untuk diimbas bagi mewujudkan rekod pergerakan palsu dalam sistem JIM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JIM mendapati, ejen sindiket mengenakan bayaran RM700 bagi setiap pasport warga asing yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

Kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(h) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.

Zakaria berkata, JIM akan meneruskan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit.

“Jabatan akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast