Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi.

SHAH ALAM – Selangor menyasarkan 80 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang akan bermula pada 15 Ogos ini.

Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, persiapan atlet dan pasukan kontinjen Selangor kini memasuki fasa keempat iaitu fasa terakhir.

Menurutnya, para atlet kini memberi tumpuan kepada latihan yang lebih berintensiti melibatkan aspek fizikal, teknikal dan psikologikal.

“Selain itu, penerapan keperluan sokongan sains sukan turut dilaksanakan, terutamanya melibatkan sesi pemulihan anggota (rehabilitasi), latihan kekuatan fizikal dan nutrisi,” katanya ketika sesi jawab lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, pasukan kontinjen Selangor juga disarankan melaksanakan latihan berpusat bagi memastikan program latihan dapat dijalankan dengan lebih efisien dan berkesan.

Mengulas mengenai perancangan kerajaan negeri memanfaatkan penganjuran SUKMA, Mohd Najwan berkata, Selangor melihat temasya tersebut sebagai peluang besar untuk melonjakkan dan mempromosikan pembangunan sukan negeri secara lebih menyeluruh.

Katanya lagi, pelbagai infrastruktur sukan telah dinaik taraf dan mencapai standard penganjuran bertaraf antarabangsa antaranya Pusat Akuatik Darul Ehsan, Lapang Sasar Menembak Subang, Padang Hoki Pandamaran, Stadium Hoki Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), MBPJ Extreme Park Arena, Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi, Dewan Bola Tampar Seksyen 4 dan Seksyen 19 Shah Alam serta Astaka MBPJ.

“SUKMA kali ini memberi peluang dan ruang kepada kerajaan negeri membuktikan kemampuan Selangor untuk menganjurkan sukan berskala besar termasuk di peringkat antarabangsa memandangkan kebanyakan fasiliti sukan telah siap dan sedia digunakan,” katanya.

Najwan menambah, penganjuran temasya tersebut turut memberi kesan langsung kepada pelbagai sektor seperti pelancongan, perhotelan dan ekonomi setempat.

Dalam pada itu, Mohd Najwan mengakui keterbatasan dan kekangan kewangan ketika ini menjadi cabaran kepada negeri itu dalam mendepani SUKMA tahun ini.

Justeru, katanya, Sekretariat SUKMA mengambil pendekatan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mendapatkan tajaan daripada pihak luar.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri menawarkan insentif sehingga RM10,000 kepada atlet yang berjaya memenangi pingat emas pada temasya tersebut.

Pemberian insentif itu bertujuan meningkatkan motivasi atlet untuk membawa pulang lebih banyak pingat dan memberikan prestasi terbaik buat kontinjen Selangor.

“Bagi kategori individu (satu hingga tiga penyertaan), atlet yang memenangi emas akan menerima RM10,000, manakala tambahan RM5,000 diberikan sekiranya muncul juara keseluruhan.

“Untuk kategori berpasukan empat hingga 10 orang, ganjaran yang ditawarkan ialah RM7,500, dengan tambahan RM2,500 kepada pasukan jika menjadi juara keseluruhan.

“Bagi pasukan 11 orang ke atas, setiap atlet akan menerima RM5,000 sekiranya memenangi emas dan tambahan RM2,000 seorang jika muncul juara keseluruhan,” jelasnya.

Sebagai rekod, SUKMA Selangor 2026 akan berlangsung bermula 15 hingga 24 Ogos, diikuti Para SUKMA pada 5 hingga 14 September, melibatkan 469 acara bagi 37 jenis sukan serta 316 acara bagi 10 jenis sukan Para. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast