KUALA LUMPUR – Usahawan yang layak di seluruh negara kini boleh memohon pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional secara dalam talian menerusi Sistem Permohonan TEKUN Online.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, sistem itu membolehkan usahawan mendaftar akaun, melengkapkan maklumat peribadi dan perniagaan, memuat naik dokumen serta menghantar permohonan tanpa perlu hadir ke pejabat TEKUN.
Projek rintis Sistem Permohonan TEKUN Online bermula di Kuala Lumpur pada Mac lalu sebelum diperluaskan ke beberapa negeri pada Jun.
“Setakat ini, sebanyak 1,624 usahawan telah membuat permohonan secara dalam talian melibatkan nilai hampir RM70 juta.
“Hari ini, selepas melalui fasa rintis, kita melancarkan Sistem Permohonan TEKUN Online secara rasmi untuk semua usahawan yang layak di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran sistem itu di sini hari ini.
Pada masa sama, Steven menegaskan, budaya menggunakan ‘kabel’ untuk mendapatkan pembiayaan tidak seharusnya berlaku sebaliknya setiap rakyat Malaysia yang layak dan memenuhi syarat perlu diberi peluang yang sama tanpa mengira latar belakang atau parti politik.
“Budaya kabel-kabel itu tak payah, kita buang. Saya mahu setiap rakyat Malaysia yang layak, jika cukup syarat, tidak kira siapa atau memakai baju parti mana sekali pun harus mendapat peluang memohon pembiayaan dan kelulusan TEKUN,” katanya.
Steven berkata, tempoh pemprosesan permohonan pembiayaan TEKUN bagi nilai di bawah RM100,000 kini dipendekkan kepada tujuh hari.
Katanya, daripada hampir 31,000 pembiayaan yang diluluskan tahun ini, lebih 70 peratus diproses dalam tempoh satu hingga lima hari manakala hampir 20 peratus lagi diluluskan dalam tempoh enam hingga 10 hari.
Beliau berkata, sehingga kini, TEKUN Nasional telah menyalurkan lebih RM700 juta kepada hampir 31,000 usahawan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, seramai 13,283 usahawan atau 43 peratus merupakan penerima pembiayaan kali pertama, membabitkan nilai hampir RM260 juta.
Pada majlis sama, TEKUN Corporation Sdn. Bhd. yang mengendalikan perkhidmatan komersial termasuk pengurusan kredit dan pemulihan hutang memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS).
MoU itu bertujuan meneroka kerjasama dalam bidang perladangan kelapa sawit, hospitaliti, penginapan resort, dewan bankuet, hartanah dan pelaburan jangka panjang.
Selain itu, TEKUN Corporation turut menandatangani kontrak perkhidmatan pengurusan dan pemulihan kredit bernilai hampir RM70 juta bersama MOCCIS.
Menurut Steven, kerjasama itu membuktikan syarikat di bawah agensi kerajaan dan gerakan koperasi mampu menggabungkan kepakaran bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih mampan dan berdaya saing. – MalaysiaGazette
















