Gambar PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga asing maut selepas dirempuh sebuah lori membawa muatan gas ketika melintas jalan berhampiran Pasar Raya Lotus di Jalan Semenyih dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, dalam kejadian sekitar 7.30 malam itu mangsa berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati, lori terbabit dipandu seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun sedang dalam perjalanan dari Semenyih menuju ke EcoHill bagi menghantar bekalan gas.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai sedang melintas jalan dari arah Pasar Raya Lotus sebelum pemandu lori itu gagal mengelak lalu melanggarnya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Naazron turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan semua pihak.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor Mohd. Raziman Rasid di talian 019-4565502 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,”ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast