KUALA LUMPUR — Sebanyak 164 server disita daripada empat premis yang disyaki menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin secara haram serta mencuri bekalan elektrik dalam operasi bersepadu di Sungai Besar dan pekan Sabak Bernam, semalam.
Operasi yang dijalankan bermula pukul 5 petang hingga tengah malam itu membabitkan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Operasi berkenaan diketuai Timbalan Yang Dipertua MDSB, Mohd Zainal Mohd Nor dengan penglibatan 11 penguat kuasa MDSB, sembilan pegawai TNB serta 15 anggota teknikal.
MDSB dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan di empat premis, pihak berkuasa mendapati, kesemuanya disyaki menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin secara tidak sah selain melakukan penyambungan elektrik secara haram.
“Tindakan tegas diambil bagi membanteras kegiatan yang bukan sahaja melibatkan jenayah tenaga, malah aktiviti pelaburan digital tanpa lesen,” katanya.
MDSB menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan premis mencurigakan yang dipercayai menjalankan kegiatan melanggar undang-undang.
Kerjasama masyarakat amat diperlukan bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan perlombongan mata wang digital secara haram serta penyalahgunaan bekalan elektrik. – MalaysiaGazette
















