Anggota bomba memantau lokasi kejadian dua pelancong Sri Lanka cedera ditimpa rasuk bangunan warisan di Lebuh Armenian, Pulau Pinang dalam kejadian 4 Ogos lalu.

 

Oleh: Sr Dr. Mohd Nurfaisal Baharuddin

INSIDEN dua pelancong cedera selepas dihempap runtuhan struktur sebuah bangunan warisan berusia 81 tahun baru-baru ini sekali lagi mengingatkan kita bahawa bangunan warisan bukan sekadar perlu dipelihara, malah mesti dipastikan selamat untuk digunakan. Warisan negara sewajarnya menjadi lambang kebanggaan dan identiti bangsa, bukannya ancaman kepada keselamatan awam.

Lebih membimbangkan, kejadian itu bukanlah kes terpencil. Sebelum itu, pada 30 Disember 2025, seorang lelaki turut cedera selepas dihempap kayu alang yang jatuh daripada sebuah premis lama di Jalan Gurdwara, George Town, Pulau Pinang. Apabila insiden hampir sama berulang dalam tempoh yang singkat, persoalan yang perlu dijawab ialah sama ada kita benar-benar mengambil iktibar atau sekadar bertindak selepas tragedi berlaku.

Hakikatnya, keruntuhan bangunan jarang berlaku secara tiba-tiba. Lazimnya, terdapat petunjuk awal seperti rekahan, perubahan bentuk, kebocoran, pereputan, kakisan atau kelemahan sambungan struktur. Persoalannya, adakah petunjuk ini dikenal pasti dan ditangani sebelum bertukar menjadi tragedi? Di sinilah pentingnya pemeriksaan bangunan secara berkala sebagai benteng utama keselamatan.

Bangunan mengalami proses penuaan
Seperti manusia, bangunan juga mengalami proses penuaan. Tiada bangunan mampu kekal selamat sepanjang masa tanpa pemeriksaan, penyelenggaraan dan pemantauan yang sistematik. Cabaran lebih besar dihadapi bangunan warisan kerana kebanyakannya dibina menggunakan bahan dan teknik tradisional seperti kayu, batu bata lama, mortar kapur serta sistem struktur yang berbeza daripada bangunan moden. Pendedahan berterusan kepada cuaca, kelembapan, pencemaran, serangan anai-anai, getaran akibat pergerakan lalu lintas dan penggunaan harian mempercepatkan proses kemerosotan bahan binaan.

Justeru, bangunan warisan memerlukan pemantauan yang lebih teliti. Penyelenggaraan tidak boleh dilaksanakan secara bermusim atau hanya apabila kerosakan menjadi jelas. Sebaliknya, ia perlu dirancang secara berterusan berdasarkan keadaan sebenar bangunan. Pemeriksaan berkala benteng keselamatan Hakikatnya, pemeriksaan bangunan bukan sekadar mengenal pasti kerosakan fizikal, malah merupakan mekanisme pengurusan risiko bagi mengelakkan kegagalan struktur, melindungi nyawa dan memastikan bangunan terus selamat digunakan.

Melalui pemeriksaan yang dilaksanakan oleh pihak kompeten seperti Jurukur Bangunan, Jurutera Struktur, Konservator Berdaftar dan pakar berkaitan, keadaan struktur, fabrik bangunan, bahan binaan, tahap kemerosotan serta potensi risiko kepada pengguna dapat dinilai secara menyeluruh sebelum tindakan pembaikan dilaksanakan.

Malangnya, budaya penyelenggaraan di negara ini masih cenderung bersifat reaktif. Tindakan lazimnya hanya diambil selepas kerosakan berlaku atau selepas menerima aduan, bertepatan dengan pepatah Melayu, “Sudah terhantuk, baru tengadah”. Pendekatan sebegini tidak lagi sesuai dalam pengurusan aset moden.

Selagi penyelenggaraan dilihat sebagai kerja bermusim dan bukannya budaya pengurusan aset, insiden seumpama ini berisiko terus berulang. Bangunan warisan memerlukan komitmen yang berterusan, bukannya perhatian sementara setiap kali berlaku kerosakan atau mendapat liputan media. Membudayakan penyelenggaraan ialah langkah paling berkesan untuk memastikan warisan negara terus kekal selamat, berfungsi dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Dalam pengurusan aset fasiliti moden, penyelenggaraan pencegahan terbukti lebih berkesan kerana kecacatan dan kerosakan dapat dikenal pasti lebih awal sebelum
berkembang menjadi kegagalan yang menelan kos tinggi atau mengancam keselamatan. Keperluan ini menjadi semakin mendesak ketika sektor pelancongan negara terus
berkembang. Malaysia merekodkan 42.2 juta pelawat pada 2025, meningkat 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ini membawa limpahan ekonomi, namun pada masa sama menuntut komitmen lebih tinggi untuk memastikan destinasi pelancongan, khususnya bangunan warisan, berada dalam keadaan selamat. Bangunan bersejarah tidak boleh hanya dinilai berdasarkan keindahan seni bina atau nilai sejarahnya. Aspek keselamatan pengguna mesti diberikan keutamaan yang sama.

Seksyen 85A perlu dimanfaatkan secara proaktif
Dari sudut perundangan sedia ada, Malaysia sebenarnya mempunyai mekanisme bagi mencegah kejadian seperti ini. Seksyen 85A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan mengarahkan pemeriksaan bangunan sekiranya terdapat alasan munasabah bahawa bangunan berkenaan tidak selamat atau boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam.

Peruntukan ini membuktikan bahawa keselamatan bangunan bukan sekadar tanggungjawab pemilik, sebaliknya kepentingan awam yang mesti dipelihara. Namun, keberkesanan undang-undang bergantung pada pelaksanaannya. Pemeriksaan tidak boleh lagi bersifat reaktif. Bangunan berisiko tinggi perlu dikenal pasti lebih awal berdasarkan umur, keadaan fizikal, intensiti penggunaan, lokasi dan jumlah pengunjung. Pendekatan berasaskan risiko ini lebih praktikal kerana tidak semua bangunan lama mempunyai tahap risiko yang sama.

Warisan perlu terus hidup dan selamat
Matlamat konservasi bukan sekadar mengekalkan rupa asal bangunan, tetapi memastikan bangunan itu terus berfungsi dan selamat digunakan. Mengekalkan nilai warisan tidak bermaksud membiarkan bangunan tanpa penyelenggaraan atas alasan mahu mengekalkan keasliannya. Sebaliknya, amalan konservasi menuntut
keseimbangan antara pemeliharaan nilai sejarah dengan keselamatan pengguna.

Malaysia bertuah kerana memiliki aset warisan bertaraf dunia seperti George Town dan Melaka yang menjadi sebahagian identiti negara yang diikitiraf sebgai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Kawasan ini bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan, malah terus berfungsi sebagai pusat ekonomi, komuniti dan kehidupan bandar. Oleh itu, bangunan warisan perlu dilihat sebagai aset hidup yang memerlukan pengurusan profesional dan pemantauan berterusan. Warisan yang benar-benar dipelihara bukan sekadar masih berdiri, tetapi terus selamat digunakan.

Lima keutamaan yang perlu dilaksanakan
Bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang, lima langkah wajar diberi perhatian. Pertama, mewujudkan inventori bangunan warisan berisiko tinggi berdasarkan umur, keadaan fizikal, tahap penggunaan dan bilangan pengunjung. Kedua, melaksanakan pemeriksaan profesional secara berkala mengikut tahap risiko dan tidak lagi bergantung kepada aduan atau insiden. Ketiga, memperkukuh pelaksanaan Seksyen 85A Akta 133 melalui tindakan yang lebih proaktif oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Keempat, membangunkan pangkalan data digital bangunan warisan menggunakan teknologi digital seperti Historic Building Information Modelling (HBIM), pengimbasan laser tiga dimensi dan dokumentasi digital bagi memudahkan pemantauan secara berterusan. Kelima, meningkatkan kesedaran pemilik dan pengusaha bangunan bahawa penyelenggaraan bukan sekadar kos operasi, sebaliknya pelaburan untuk melindungi nyawa, aset dan warisan negara.

Natijahnya, bangunan warisan ialah khazanah yang mencerminkan sejarah, identiti dan tamadun negara. Namun, nilai sejarah tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab memastikan keselamatan orang awam. Justeru, sudah tiba masanya pendekatan pengurusan bangunan beralih daripada budaya menunggu aduan kepada budaya mencegah kegagalan.

Pemeriksaan berkala, penyelenggaraan sistematik dan penguatkuasaan yang konsisten perlu dijadikan budaya, bukannya dilaksanakan secara bermusim. Dalam pengurusan bangunan, setiap keruntuhan lazimnya didahului oleh tanda amaran. Persoalannya bukan sama ada tanda itu wujud atau tidak, tetapi sama ada kita memilih untuk melihat, memahami dan bertindak sebelum terlambat.

Hakikatnya, warisan negara tidak seharusnya menjadi ancaman kepada masyarakat. Sebaliknya, ia mesti terus berdiri sebagai simbol sejarah yang selamat, berfungsi dan membanggakan generasi hari ini serta akan datang. Hanya dengan membudayakan pemeriksaan berkala, penyelenggaraan yang konsisten dan pengurusan aset yang proaktif, kita dapat memastikan khazanah negara terus dipelihara tanpa mengorbankan aspek keselamatan awam.

Penulis adalah Pensyarah Kanan,
Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak & Jurukur Bangunan Berdaftar Malaysia (MyRBS), Konservator Berdaftar, Jabatan Warisan Negara (JWN)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast