Mohideen Abdul Kader.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pengguna supaya mengelak pengambilan makanan ultra proses (UPF) susulan bukti yang menunjukkan kaitan antara pengambilan makanan berkenaan dengan kanser kolorektal.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, makanan ultra proses lazimnya mengandungi tenaga, gula tambahan, natrium dan lemak tidak sihat yang tinggi, namun rendah serat, protein serta mikronutrien.

Katanya, antara makanan ultra proses yang popular di Malaysia ialah mi segera yang murah, mudah diperoleh dan cepat disediakan, dengan Malaysia menduduki tempat ke-13 dunia bagi penggunaan mi segera pada 2024, membabitkan 1.692 bilion hidangan.

“Kanser kolorektal kini menjadi kanser paling lazim dalam kalangan lelaki dan kedua paling lazim dalam kalangan wanita di Malaysia, manakala penyakit itu turut menunjukkan peningkatan dalam kalangan golongan dewasa muda dan pertengahan usia.

“Menurut Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021, kira-kira 70 peratus kes kanser kolorektal hanya dikesan apabila penyakit itu telah mencapai tahap tiga atau empat, menyebabkan rawatan menjadi lebih sukar dan kadar kelangsungan hidup menurun,” katanya.

Tambah Mohideen, satu kajian diketuai penyelidik Mass General Brigham mendapati wanita yang mengambil makanan ultra proses pada kadar tertinggi mempunyai risiko 45 peratus lebih tinggi untuk mendapat adenoma konvensional, iaitu polip prakanser yang berkait rapat dengan kanser kolorektal, berbanding mereka yang mengambilnya pada kadar terendah.

Katanya, kajian yang diterbitkan dalam jurnal JAMA Oncology itu menganalisis data 29,105 jururawat wanita sepanjang 24 tahun, dengan peserta yang mengambil makanan ultra proses paling tinggi mengambil secara purata 10 hidangan sehari berbanding tiga hidangan sehari bagi kumpulan paling rendah.

“Sehubungan itu, kita menggesa pihak berkuasa melaksanakan cukai ke atas makanan tidak sihat serta memberi amaran kepada orang ramai dan pelajar mengenai bahaya pengambilan makanan ultra proses.

“Pengguna juga dinasihatkan supaya mengelakkan makanan yang telah disingkirkan seratnya serta tinggi kalori, lemak, gula dan garam, selain produk yang mempunyai senarai ramuan panjang termasuk bahan pewarna, pengawet dan bahan tambahan lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast