Wan Ahmad (empat dari kanan) pada majlis penyerahan dua buah buggy kepada Pengasas Akademi Ilmi, Ustaz Wadi Anuar.

SUNGAI PETANIGo Auto Motors Group terus memperkukuh kedudukannya dalam industri kenderaan komersial dan mobiliti menerusi pelaburan RM1.5 juta bagi memperluas fasiliti pengeluaran susulan peningkatan permintaan terhadap kenderaan komersial dan penyelesaian mobiliti.

Menurut Pengasas dan Pengarah Eksekutif Go Auto, Wan Ahmad Wan Omar, pembesaran fasiliti itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada sehingga 500 unit sebulan, sekali gus membolehkan syarikat memenuhi permintaan pasaran dengan lebih cekap serta menyokong pertumbuhan operasi pada masa hadapan.

Katanya, langkah pengembangan itu turut menyasarkan nilai tempahan sebanyak RM50 juta, selain mewujudkan kira-kira 100 peluang pekerjaan baharu dalam bidang pengeluaran, teknikal, operasi dan sokongan berkaitan.

“Pelaburan ini mencerminkan komitmen syarikat untuk terus membangunkan keupayaan pengeluaran tempatan serta memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.

“Pembesaran fasiliti ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk meningkatkan kapasiti, kecekapan dan keupayaan pengeluaran.

“Kami melihat potensi besar dalam segmen kenderaan komersial, termasuk kenderaan berkuasa elektrik, dan mahu memastikan kami mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menyokong permintaan pasaran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya, selain pasaran domestik, Go Auto juga mempunyai aktiviti dan potensi pasaran eksport ke ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dengan nilai eksport tahunan disasarkan sebanyak RM20 juta.

“Perkembangan ini mengukuhkan lagi aspirasi Go Auto untuk menjadi antara pemain penting dalam sektor kenderaan komersial dan mobiliti, dengan memberi penekanan kepada kualiti, teknologi, kecekapan operasi serta penyelesaian pengangkutan yang memenuhi keperluan pelanggan.

“Melalui peningkatan kapasiti pengeluaran dan peluasan pasaran ini, kami kekal komited untuk menyokong pertumbuhan industri mobiliti serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan melalui pembangunan ekosistem automotif tempatan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Wan Ahmad berkata, Go Auto juga terbuka untuk bekerjasama dengan usahawan tempatan dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan setiap tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast