KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan tuduhan bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersifat perkauman sebagai “hujah yang sangat meleset”.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, pegangan Melayu kepada Islam bukan fanatik perkauman sebaliknya ia adalah kasih akan kaum bangsa.
“Orang Melayu tidak bersifat perkauman kerana mereka boleh memenangkan MCA dan MIC di kawasan Melayu,” katanya menerusi kenyataan Minda Presiden Pas hari ini.
Sebaliknya, beliau mendakwa DAP yang kini mendominasi Pakatan Harapan (PH) sedang meneruskan agenda yang melemahkan kedudukan Melayu dan Islam di Malaysia.
Abdul Hadi berkata, Pas dan DAP memang pernah bekerjasama dalam PRU ke-10 pada tahun 1999 untuk mencabar Barisan Nasional (BN) atas faktor perdamaian menentang penyelewengan dan salah laku.
Bagaimanapun, dedahnya, desakan Pas untuk menubuhkan sebuah negara Islam yang dikuasai oleh Melayu Islam, diistilahkan konservatif oleh DAP serta tidak inklusif menyebabkan DAP menarik diri daripada gabungan tersebut.
Dakwa beliau, DAP kekal dengan komitmennya Malaysia ialah sebuah negara demokratik sekular yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan yang menghormati semua agama dan kaum.
Beliau mendakwa, DAP kini menjadi kuasa dominan dalam PH dan disokong oleh parti-parti Melayu serta kelompok Islam yang menurutnya mempertahankan agenda politik DAP.
“PH yang dikuasai oleh DAP telah mengambil beberapa langkah yang terbuka bagi meneruskan agenda penjajah yang bertujuan menyingkirkan Islam dan Melayu,” katanya dalam tulisan tersebut.
Abdul Hadi turut mendakwa, kerajaan PH mengambil beberapa langkah yang mencabar kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Tercetusnya kenyataan dan tindakan yang secara terbuka mencabar kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, memperlekehkan kedudukan Raja-raja Melayu yang dihilangkan kedaulatannya oleh penjajah, melemahkan kedudukan bahasa Melayu yang dinobatkan menjadi Bahasa Kebangsaan, membela golongan yang murtad dalam kalangan penganut Islam dan memberi tekanan kepada mereka yang memeluk Islam, serta menentang langkah pelaksanaan syariat oleh beberapa buah kerajaan negeri.
“Malah, mereka juga meletakkan kalangan bukan Islam, khususnya daripada DAP dalam kementerian penting yang menjadi ancaman kepada Melayu dan Islam, serta merancang agenda politik seperti mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, pilihan raya PBT di Malaysia adalah proses memilih ahli majlis bandar atau perbandaran, yang telah dimansuhkan pada tahun 1960-an dan kini dilantik secara rasmi namun ia menimbulkan perdebatan tentang isu demokrasi serta keutamaan pentadbiran.
“Pilihan raya ini kemudiannya dibatalkan kerana masih wujud kesan penyusunan masyarakat majmuk yang dilaksanakan oleh penjajah yang pernah dilihat menjadi sebab meletupnya Peristiwa 13 Mei 1969, sejarah hitam yang tidak boleh diulang lagi. Kini, ia menjadi agenda DAP untuk menguasai bandar yang didominasi oleh kaum Cina,” dakwa beliau lagi.
Dakwa Presiden Pas itu, PH bersama DAP menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa kaum bagi menyingkirkan bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa perantaraan masyarakat majmuk di Tanah Melayu.
DAP juga meletakkan calon Islam di kawasan Melayu sehingga berwajah pakaian Islam, di samping calon bukan Islam oleh parti-parti lain dalam komponen Pakatan Harapan.
Beliau mendakwa, DAP semakin terbuka memperjuangkan sekularisme dan konsep Malaysian Malaysia, yang menurutnya bercanggah dengan kedudukan Melayu Islam dalam konteks sejarah dan Perlembagaan negara.
Lantaran itu, katanya, penyatuan Melayu Islam perlu diperkukuhkan sebagai langkah menghadapi perkembangan politik semasa dan mencadangkan kerjasama lebih erat antara Pas dan UMNO, selain melibatkan parti-parti lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan agenda perpaduan Melayu dan Islam.
Menurut beliau, penyatuan tersebut tidak harus dianggap sebagai perjuangan perkauman, sebaliknya perlu dilihat sebagai usaha memastikan Melayu Islam memainkan peranan kepimpinan dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk.
“Pendiriannya yang betul sekadar mewajibkan Melayu Islam memimpin negara Malaysia dalam konsep menerima masyarakat majmuk,” katanya dalam tulisan tersebut.
Beliau berkata, masyarakat Melayu Islam mempunyai sifat toleransi terhadap komuniti lain hasil pegangan Islam, namun mendakwa mereka perlu diselamatkan daripada kejahilan serta kelekaan dan langkah menyelamat wajib dilakukan dengan segera dan bersungguh-sungguh. – MalaysiaGazette
















