SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan mengadakan pertemuan, minggu depan, dengan kumpulan pekerja yang dijangka terjejas apabila operasi kilang pengeluaran televisyen, Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd di negeri ini ditutup nanti.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pertemuan itu akan diadakan oleh EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V Papparaidu, dan wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mendapatkan maklumat berkaitan.
“Minggu depan, Yang Berhormat Papparaidu akan berjumpa dengan kumpulan terbabit untuk mencari dan menawarkan sokongan yang diperlukan, terutama pada saat kemungkinan kilang mereka akan ditutup.
“Langkah intervensi awal seperti bantuan bakul makanan itu sudah semestinya kita akan buat tetapi juga (membantu) carikan pekerjaan untuk mereka supaya mereka boleh menyambung kehidupan yang telah dibina bertahun-tahun di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Mega Jobcare Selangor 2026, di sini, hari ini.
Mega Jobcare Selangor 2026 menghimpunkan 147 majikan membabitkan lebih 11,000 jawatan kosong dengan 62.2 peratus daripadanya menawarkan gaji lebih RM3,000 sebulan.
Karnival kerjaya itu dianjurkan dengan kerjasama MYFutureJobs dengan menyasarkan peserta berusia 18 hingga 60 tahun, berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dari jam 9 pagi hingga 5 petang dan akan berakhir esok.
Sebelum ini, Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic) mengumumkan penutupan operasi pengeluaran dua produk yang akan memberi kesan kepada 400 pekerja menjelang akhir Mac tahun depan.
Sementara itu, Papparaidu pula berkata, kerjasama dengan PERKESO dijangka membolehkan agensi terbabit memainkan peranan penting dalam menyediakan perlindungan kewangan dan bantuan kepada individu yang kehilangan pekerjaan, khususnya ketika berdepan jangkaan pemberhentian tenaga kerja.
“Perkara paling penting ialah PERKESO menyediakan perlindungan insurans dan sekiranya diberhentikan kerja serta tidak mempunyai pekerjaan, mereka akan menerima bayaran secara berperingkat seperti elaun mencari pekerjaan dengan bayaran sebanyak 80 peratus daripada gaji pada bulan pertama, 50 peratus bagi bulan kedua, dan seterusnya 30 peratus.
“Ini adalah produk baharu PERKESO bagi membantu orang ramai, khususnya rakyat Selangor yang bakal berdepan situasi pemberhentian kerja. Saya berharap kita dapat melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu ini,” katanya
















