GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik langkah Malaysia Aviation Group (MAG) memperkenalkan saringan dadah mandatori terhadap kesemua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines sebagai usaha memperkukuh keselamatan operasi penerbangan.
Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata, langkah berkenaan merupakan perkembangan positif yang dapat meningkatkan keyakinan penumpang terhadap aspek keselamatan penerbangan Malaysia Airlines.
“Penumpang udara boleh menarik nafas panjang dengan jaminan MAG bahawa saringan dadah mandatori kini dilaksanakan terhadap semua juruterbang Malaysia Airlines.
“CAP mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar atas langkah positif ini yang membuktikan komitmen terhadap keselamatan penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, ketetapan bahawa juruterbang yang tidak melengkapkan saringan dalam tempoh ditetapkan tidak akan dibenarkan mengendalikan penerbangan sehingga disahkan memenuhi prosedur serta keperluan kawal selia MAG menunjukkan ketegasan syarikat dalam memastikan aspek keselamatan tidak dipandang ringan.
“Langkah itu dapat memberikan jaminan lebih kukuh kepada penumpang bahawa aspek keselamatan sentiasa diberi keutamaan dan tiada kompromi terhadap sebarang perkara yang boleh menjejaskan keselamatan operasi penerbangan.
“Daripada memberi alasan, MAG telah mengambil langkah yang sangat positif dan meyakinkan. Jaminan ini penting dalam mengembalikan serta meningkatkan kepercayaan penumpang udara terhadap Malaysia Airlines.
“CAP percaya keselamatan penumpang udara tidak sepatutnya dikompromi dalam apa keadaan sekalipun,” katanya.
Semalam, MAG memaklumkan saringan dadah mandatori terhadap semua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines sedang dilaksanakan dan dijangka selesai pada 15 Ogos ini.
MAG turut memaklumkan saringan berkenaan akan menjadi tambahan kepada program ujian dadah secara rawak sedia ada sebelum diperluaskan kepada kru kabin aktif. – MalaysiaGazette
















