KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Mohamed Eusoff Chin, bekas Ketua Hakim Negara yang meninggal dunia awal pagi semalam pada usia 91 tahun.

Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham yang merupakan antara tokoh penting dalam institusi kehakiman negara serta telah memberikan khidmat dan sumbangan besar kepada negara sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

“Allahyarham Tun Mohamed Eusoff Chin berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara kedua Malaysia dari September 1994 hingga Disember 2000, meneruskan kepimpinan institusi kehakiman negara selama lebih enam tahun,” titahnya menerusi Facebook Kesultanan Pahang.

Dalam ucapan takziah itu, baginda berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

Baginda berdua turut mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

Allahyarham meninggalkan jasa dan sumbangan besar dalam bidang kehakiman negara sepanjang kerjayanya, khususnya ketika menerajui institusi kehakiman Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast