GEORGE TOWN – Kematian seorang wanita warganegara Malaysia, Tan Kah Ming di Perth, Australia yang dipercayai mempunyai kaitan dengan keganasan rumah tangga mendapat perhatian Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying.
Hui Ying berkata, beliau amat dukacita menerima berita kematian mendiang yang disifatkan sebagai satu kehilangan tragis kepada keluarga dan insan tersayang.
Katanya, beliau menghormati proses siasatan dan tindakan kerajaan Australia serta menyerahkan perkara berkaitan fakta dan perkembangan siasatan kepada pihak berkuasa berkenaan.
“Semoga keluarga beliau diberi kekuatan dan ketabahan serta mendapat keadilan yang sewajarnya.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan insan tersayang mendiang atas kehilangan yang amat tragis ini.
“Dalam saat yang sukar ini, perhatian dan keprihatinan kita juga pastinya tertumpu kepada anak-anak beliau serta ahli keluarga yang sedang berdepan dengan kehilangan insan tersayang,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Dalam perkembangan sama, Hui Ying menegaskan, keganasan rumah tangga bukan isu peribadi yang wajar disembunyikan atau ditanggung seorang diri, sebaliknya satu bentuk keganasan serius yang tidak boleh dinormalisasikan dalam apa jua keadaan.
“Keganasan rumah tangga boleh memberikan kesan mendalam bukan sahaja kepada mangsa, malah anak-anak, keluarga dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.
“Justeru, usaha untuk mencegah keganasan, melindungi mangsa serta memastikan mereka mendapat sokongan dan akses kepada bantuan yang sewajarnya perlu menjadi tanggungjawab bersama,” katanya.
Hui Ying turut menyeru mereka yang berdepan keganasan rumah tangga supaya mendapatkan bantuan dan perlindungan, selain tidak memendam atau menghadapi situasi itu seorang diri.
Talian Kasih 15999 dan WhatsApp 019-261 5999 beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bagi membolehkan orang awam mendapatkan bantuan, khidmat nasihat, sokongan serta rujukan kepada perkhidmatan berkaitan. – MalaysiaGazette
















