Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh.

PUTRAJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada mana-mana Ahli Parlimennya di tengah-tengah spekulasi mengenai kedudukan beberapa wakil rakyat parti itu.

“Setakat ini tiada,” kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh ketika dihubungi media hari ini.

Pengesahan itu dibuat susulan spekulasi mengenai kemungkinan seorang wakil rakyat PKR akan meninggalkan parti atau mengosongkan kerusi Parlimen.

Spekulasi berkenaan timbul ketika beberapa Ahli Parlimen PKR mengambil pendirian berbeza dalam beberapa isu membabitkan kepimpinan dan hala tuju parti tersebut.

Tiga Ahli Parlimen parti itu sebelum ini secara terbuka menyuarakan pandangan serta kritikan terhadap beberapa keputusan kepimpinan sehingga mencetuskan persoalan mengenai kedudukan mereka dalam PKR.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian selepas timbul dakwaan akses pejabat beberapa ahli Parlimen terbabit kepada sistem MyKhas bagi menguruskan permohonan Projek Mesra Rakyat (PMR) dan peruntukan khas kawasan tidak lagi boleh digunakan.

Kerajaan bagaimanapun menjelaskan perkara itu tidak bermakna peruntukan untuk rakyat di kawasan Parlimen terbabit dihentikan.

Sebaliknya, peruntukan berkenaan akan terus disalurkan melalui mekanisme ditetapkan termasuk menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Menteri Komunikasi yang juga Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil hari ini  menegaskan, MyKhas membabitkan Peruntukan Khas Perdana Menteri yang disalurkan untuk manfaat rakyat dan bukannya untuk kegunaan ahli Parlimen.

Perhatian kini turut terarah kepada Ahli Parlimen Subang, Wong Chen selepas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mendedahkan semalam bahawa wakil rakyat berkenaan ada menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen.

Johari bagaimanapun tidak memperincikan kandungan surat yang diserahkan kepadanya ketika kedua-duanya mengadakan pertemuan beberapa hari lepas.

Wong sebelum ini mengesahkan mengadakan pertemuan dengan Johari kira-kira satu setengah jam dan menyerahkan sepucuk surat menggunakan kepala surat rasmi pejabat Parlimen Subang kepada Speaker Dewan Rakyat itu.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan kandungan surat berkenaan dan dijangka mengeluarkan kenyataan penuh berhubung perkara itu pada Isnin ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast