Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bercakap kepada media pada Konvensyen Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Internet Selamat 2026 Peringkat Kuala Lumpur di Imbi Convention Hall Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 08 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR –  Kerajaan tidak melihat keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal ketika parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan kekal komited menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga akhir penggal.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan tempoh semasa, PRU seterusnya boleh diadakan selewat-lewatnya pada penghujung tahun depan.

Justeru, katanya, tidak timbul keperluan untuk mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat seperti yang dispekulasikan.

“Setakat yang saya tahu, tidak ada keperluan untuk PRU dalam masa terdekat.

“Rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan telah memberikan komitmen untuk terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga akhir penggal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Internet Selamat 2026 Peringkat Kuala Lumpur di Imbi Convention Hall, Cheras, hari ini.

Fahmi berkata, tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk meneruskan usaha menyelesaikan permasalahan rakyat, selain memberi perhatian kepada keadaan ekonomi khususnya perkara yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian.

Menurutnya, perkara berkaitan hubungan dan pandangan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan pula perlu ditangani melalui perbincangan dengan mengambil kira matlamat lebih besar kerajaan.

“Kita perlu duduk berbincang dan melihat apakah keutamaan atau ‘higher objective’ kita.

“Bagi kerajaan, keutamaannya adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat, memberi fokus kepada ekonomi dan juga ekonomi poket rakyat,” ujarnya.

Fahmi berkata, perdana menteri juga dijangka membuat beberapa pengumuman dalam masa terdekat yang disifatkannya sebagai perkembangan sangat baik untuk rakyat dan negara.

Beliau bagaimanapaun tidak memperincikan bentuk atau kandungan pengumuman berkenaan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sebarang kemungkinan perubahan pendirian DAP dalam Kerajaan Perpaduan, Fahmi berkata, tidak wajar untuk mendahului parti berkenaan selagi tiada kenyataan rasmi dibuat.

Beliau menegaskan, pendekatan terbaik dalam Kerajaan Perpaduan adalah dengan memastikan rakan-rakan parti terus berbincang mengenai sebarang perkara berbangkit, dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta kestabilan pentadbiran.

Mengenai perkembangan lain membabitkan rakan dalam PH, Fahmi berkata, kerajaan juga terus komited melaksanakan agenda penambahbaikan dan reformasi yang telah dipersetujui.

Beliau memberi contoh pelaksanaan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji yang menurutnya kini mencapai kira-kira 75 peratus, manakala baki perkara masih dalam tindakan.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Pada masa sama, ditanya mengenai dakwaan membabitkan kedudukan kerusi Parlimen Subang, Fahmi berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenainya.

Katanya, sebarang perkara yang membabitkan kedudukan seseorang ahli Parlimen atau kerusi dalam Dewan Rakyat perlu menunggu pengumuman rasmi Speaker Dewan Rakyat.

Semalam, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan Wong Chen ada menyuarakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang.

Johari bagaimanapun tidak menyatakan sama ada Chen ada menyerahkan surat berkait perletakan jawatan itu sepertimana maklumat tular di media sosial atau sebab di sebalik hasrat tersebut . -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast