Salehuddin Saidin

KUALA LUMPUR — Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyambut baik kelulusan tiga rang undang-undang (RUU) oleh Dewan Negeri Selangor yang dilihat bakal memperkukuh pentadbiran agama Islam serta kedudukan institusi kehakiman Syariah di negeri itu.

Ketiga-tiga undang-undang berkenaan ialah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2026, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 dan Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026 yang diluluskan pada 4 hingga 6 Ogos lalu.

Pengerusi MAIS, Senator Datuk Salehuddin Saidin berkata, kelulusan itu merupakan agenda penting yang diusulkan bersama Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi memperkukuh pentadbiran agama Islam dan institusi kehakiman syariah.

Menurutnya, pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 2026 memperjelaskan bahawa agama Islam di Selangor berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti yang diamalkan sejak sekian lama.

“Pindaan itu turut memperuntukkan secara khusus mengenai penubuhan Mahkamah Syariah dalam undang-undang tertinggi Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Salehuddin berkata, pindaan tersebut disokong Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026 yang mengawal selia penubuhan, struktur, bidang kuasa serta pentadbiran mahkamah syariah.

Jelasnya, kedua-dua undang-undang berkenaan memperkukuh kedudukan Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman yang bebas, berwibawa dan diyakini masyarakat.

“Struktur empat peringkat mahkamah syariah turut dilengkapkan dengan Mahkamah Utama Syariah sebagai mahkamah tertinggi, diikuti Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah,” ujarnya.

Sementara itu, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 pula bertujuan memperkukuh kerangka pentadbiran agama Islam menerusi punca kuasa statutori yang lebih jelas kepada MAIS.

Ia membolehkan MAIS melaksanakan perkhidmatan bantuan guaman dan pengantaraan, penulisan wasiat dan hibah serta bantuan dan perkhidmatan lain bagi menyokong kesejahteraan serta pembangunan sosial masyarakat Islam di Selangor.

Pindaan itu juga memberikan kuasa yang lebih jelas kepada MAIS dalam pengurusan dan pembahagian harta pusaka orang Islam, khususnya bagi membantu menyelesaikan isu harta pusaka beku.

Menurut Salehuddin lagi, peruntukan itu turut menyokong pelaksanaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2022, selain menyelaraskan tatacara pembuatan fatwa membabitkan isu nasional.

Beliau berkata, usaha mengusulkan ketiga-tiga undang-undang tersebut merupakan komitmen berterusan bagi memperkasa pentadbiran agama Islam di Selangor.

“MAIS mengharapkan undang-undang ini mampu memberikan manfaat besar kepada masyarakat Islam, di samping meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi pentadbiran agama Islam dan sistem kehakiman Syariah di Negeri Selangor,” katanya.

Salehuddin turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Negeri yang membahaskan rang undang-undang tersebut dengan teliti dan profesional.

Penghargaan turut diberikan kepada Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Mufti Selangor, barisan kepimpinan dan Jawatankuasa Undang-Undang MAIS, Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor serta pegawai-pegawai MAIS, JAKESS, Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor.

Salehuddin menegaskan, pihaknya akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan semua agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan ketiga-tiga undang-undang itu berjalan dengan berkesan.

Langkah tersebut penting bagi memperkukuh pentadbiran agama Islam serta meningkatkan penyampaian keadilan Syariah di Selangor. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast