Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas melepaskan peserta Program Pelepasan Jelajah motosikal berkuasa tinggi STAR CITY FC di Dataran Masjid Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – Data awal hasil pelaksanaan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) Myanmar bagi mengenal pasti dan merekodkan pelarian dari negara itu di negara ini akan diperolehi pada suku keempat tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)  sedang melakukan proses pendataan dan mengenal pasti status pelarian Myanmar yang berada di depot imigresen.

“Saya jangkakan data yang pertama akan kami perolehi pada suku keempat tahun ini, sekarang sudah bulan Ogos. Berapa pun jumlahnya akan saya kongsi dengan media nanti.

“Proses pendaftaran ini penting susulan komitmen kerajaan Myanmar yang bersetuju untuk menerima pulang 5,000 rakyatnya yang berstatus pelarian di Malaysia,” katanya dalam Majlis Perlepasan Jelajah Star City FC di Dataran Masjid Putrajaya di sini, hari ini.

Tambah beliau, ketika ini lebih 4,000 warga Myanmar telah dikenal pasti berasa di depot, namun proses tapisan perlu dilakukan bagi menentukan sama ada mereka benar-benar berstatus pelarian atau ditahan atas kesalahan imigresen.

“Saya tak kata mereka ni pelarian dulu. Untuk mengetahui mereka ni pelarian, ataupun mereka ni merupakan rakyat Myanmar yang melakukan kesalahan atas imigresen dan lain, kita kena tapis.

“Sekarang sedang mula (proses pendataan). Berapa ramai itu nanti mereka akan lapor kepada saya dari masa ke masa. Kalau sah mereka itu berstatus pelarian, maka mereka tentunya antara kumpulan awal yang akan kita uruskan penghantaran,” jelasnya.

Ujarnya lagi, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme bagi mendekati warga Myanmar yang berada di luar depot supaya tampil untuk proses pendataan.

“Urusan penghantaran pulang akan dikendalikan kerajaan, manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tumpuan kepada proses pendaftaran dan pengenalpastian.

“Yang itu akan dikendalikan oleh Putrajaya. Saya tidak boleh cakap lebih daripada itu. Urusan kami adalah menjalankan pendaftaran,” ujarnya.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution menegaskan bahawa pelarian Myanmar di Malaysia bukan hanya terdiri daripada etnik Rohingya, sebaliknya membabitkan kira-kira 19 etnik.

“Ketika ini tumpuan berlebihan terhadap isu Rohingya menyebabkan masyarakat seolah-olah melihat isu pelarian Myanmar hanya berkisar kepada satu etnik berkenaan.

“Rohingya adalah satu daripadanya. Ada etnik Chin, Arakanese dan macam-macam lagi.  Jadi lebih baik kita kekalkan istilah pelarian Myanmar kerana tumpuan hanya kepada Rohingya kadang-kadang menimbulkan gambaran seolah-olah hanya mereka yang ada di negara ini,” jelasnya.

Beliau berkata, Malaysia turut menempatkan pelarian dari beberapa negara lain termasuk Afghanistan, Iraq dan Jordan.

Katanya, perkembangan itu perlu difahami dalam konteks lebih luas kerana isu pelarian bukan hanya membabitkan satu negara atau etnik.

Mengulas mengenai perkembangan di Bangladesh pula, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan Myanmar turut bersetuju menerima semula kira-kira 100,000 pelarian dari Cox’s Bazar, yang kini menempatkan lebih 1.2 juta pelarian Rohingya.

Jelas beliau, perkembangan geopolitik dunia itu menyebabkan peluang penempatan pelarian ke negara ketiga semakin terhad, termasuk ke Amerika Syarikat.

“Penempatan ke negara ketiga bukan tidak boleh, tetapi jumlahnya sangat kecil sekarang, terutama kerana perubahan geopolitik.

“Jadi, kalau kita fikir pelarian di Malaysia, selepas diproses UNHCR, untuk ditempatkan ke negara ketiga seperti Amerika Syarikat, peluang itu sangat tipis,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast