Anggota bomba memadam kebakaran hutan di Taman Negara Bromo Tengger Semeru berhampiran Gunung Bromo di Probolinggo, wilayah Jawa Timur, pada 6 Ogos 2026. foto AFP

JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia menutup akses ke Taman Negara Bromo Tengger Semeru di Pulau Jawa ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan yang sudah berlarutan hampir seminggu.

Kebakaran itu telah memusnahkan kawasan seluas 176 hektar (435 ekar) sejak tercetus pada hari Isnin.

Lokasi kebakaran itu berhampiran destinasi pelancongan popular Gunung Bromo di Jawa Timur.

Pihak berkuasa menghalang kemasukan pengunjung ke kawasan itu mulai lewat Sabtu sehingga diberitahu kelak.

Jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata, tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan setakat ini.

Menurutnya, dua helikopter pengebom air dikerahkan bagi memadam kebakaran di kawasan yang sukar dicapai anggota bomba akibat cerun curam dan angin kencang.

“Keadaan ini menjadikan operasi udara penting untuk mencapai kawasan yang tidak dapat diakses secara optimum melalui darat,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Pada 2023, kebakaran memusnahkan lebih 500 hektar kawasan di Gunung Bromo selepas sepasang pengantin menyalakan suar ketika menjalani sesi fotografi praperkahwinan.

Indonesia dijangka mengalami musim kering yang lebih sengit dan berpanjangan tahun ini, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan dan kemarau, sebahagiannya disebabkan fenomena cuaca El Nino, menurut agensi meteorologi BMKG.

Lebih 107,000 hektar kawasan di Indonesia terbakar pada separuh pertama tahun ini, lebih dua kali ganda berbanding keluasan kawasan yang musnah akibat kebakaran hutan pada 2023.

El Nino ialah fenomena iklim semula jadi yang menyebabkan perubahan corak angin, tekanan udara dan taburan hujan di seluruh dunia. Fenomena itu lazimnya mengakibatkan keadaan lebih kering di Asia Tenggara dan India. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast