KUALA LUMPUR – Ahli politik sepatutnya menjawab dakwaan yang mengaitkan DAP sebagai anti-Melayu atau mengancam Islam, bukannya mencabar Pas membawa isu itu ke mahkamah.
Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, sekiranya ahli politik berkenaan yakin DAP tidak pernah mengancam kedudukan Melayu dan Islam, penjelasan secara konkrit peru diberikan berhubung pendirian DAP mengenai kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, institusi Raja-Raja Melayu serta bidang kuasa agama Islam.
Tambahnya yang juga Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, perdebatan politik sepatutnya dijawab dengan dasar dan rekod, bukan dengan mengalihkan beban perbahasan kepada mahkamah.
“Bagi saya tak perlulah membawa semua perkara ke mahkamah. Mahkamah pun telah dilambakkan dengan banyak kes tertangguh.
“Ada banyak cara lain lagi, mahkamah seharusnya menjadi pilihan terakhir,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Semalam, Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Aiman Athirah Sabu mencabar Pas dan barisan kepimpinannya mengemukakan bukti dan mengheret DAP ke mahkamah jika betul parti itu dan Pakatan Harapan (PH) jadi ancaman kepada Melayu Islam.
Aiman Athirah berkata, Pas perlu membuktikan tuduhan tersebut bukan sekadar retorik politik dan strategi membina ketakutan bagi merampas kuasa.
Sementara itu, Zainul Rijal menambah, tidak semua persoalan politik, ideologi atau dasar yang dipertikaikan boleh diterjemahkan menjadi kesalahan jenayah yang boleh didakwa di mahkamah ataupun menjadi kes sivil.
Ujarnya, mahkamah menentukan kesalahan undang-undang berdasarkan bukti dan peruntukan serta melupuskan pertikaian sivil, bukan forum untuk menentukan sama ada sesuatu parti mempunyai kecenderungan politik atau dasar yang dianggap merugikan kepentingan Melayu dan Islam. – MalaysiaGazette















