Ops Samseng Jalanan di Jalan Ampang, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 827 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan 1,450 motosikal telah diperiksa menerusi Op Samseng Jalanan di Jalan Ampang, di sini awal pagi tadi.

Operasi bersepadu bermula jam 2 pagi itu melibatkan 103 pegawai dan anggota trafik Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM serta lapan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner  Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dalam operasi itu pihaknya turut mengambil tindakan menyita 147 motosikal.

“Dalam operasi ini, kita telah mengeluarkan sebanyak 827 saman iaitu 671 saman oleh JSPT dan 156 saman pihak JPJ, selain menahan dua individu mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kebanyakan penunggang motosikal yang diperiksa berusia antara 15 hingga 20 tahun dan tindakan dikenakan kepada mereka yang tidak memiliki lesen memandu.

Sehubungan itu, ibu bapa diminta memantau pergerakan anak-anak dan memastikan mereka tidak melakukan perkara yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Menurut beliau, sikap bertanggungjawab dan berhemah di jalan raya bukan sahaja dapat melindungi diri sendiri, malah mampu menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya yang lain,.

Dalam pada itu, Mohd Zamzuri turut meminta pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas serta mengelakkan daripada pengubahsuaian kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi serta terlibat dalam lumba haram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast