Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berucap pada Majlis Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh, Kluang. Foto SADIQ SANI, (Gambar fail)

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus mendengar, turun mendekati masyarakat Orang Asli dan memastikan suara golongan itu sentiasa diberikan perhatian dalam setiap agenda pembangunan yang dibawa.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, disebabkan itu, komitmen kementerian tersebut melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan terus diperkasakan.

Menurutnya, daripada pendidikan anak-anak Orang Asli, peluang ekonomi dan peningkatan pendapatan hinggalah kepada kemudahan asas serta kesejahteraan komuniti, kerajaan akan terus berusaha memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan golongan itu.

“Masyarakat Orang Asli sentiasa dekat di hati saya. Sepanjang diberikan amanah menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, saya berpeluang mendekati lebih banyak komuniti Orang Asli, mendengar sendiri suara mereka serta memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi.

“Setiap pertemuan bersama mereka memberikan pengalaman yang cukup bermakna buat saya.

“Di sebalik keunikan adat, budaya dan cara hidup yang terus dipertahankan, saya melihat begitu banyak potensi dalam komuniti ini, khususnya dalam kalangan generasi mudanya yang mempunyai cita-cita dan kemampuan untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Facebooknya sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia 2026 yang disambut hari ini.

Sementara itu, sempena sambutan itu juga, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada seluruh masyarakat Orang Asli atas sumbangan mereka dalam memperkayakan kepelbagaian budaya dan warisan negara.

“Teruslah melangkah maju dengan identiti dan jati diri yang menjadi kebanggaan kita bersama,” katanya.

Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia disambut pada 9 Ogos setiap tahun dan diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi hak, memelihara budaya dan meningkatkan kesedaran tentang cabaran yang dihadapi oleh penduduk asal di seluruh dunia. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast