Pengurus Besar Tourism Pahang, Nor Zahira Muhammad Azmi menerima anugerah bagi pihak kerajaan Negeri Pahang.

KUANTAN – Kerajaan Negeri melalui Tourism Pahang menerima anugerah utama Kadar Purata Penginapan Tertinggi Terbaik di Malaysia pada Malam Anugerah Industri Pelancongan 2026 yang dianjurkan oleh Malaysia International Tourism Development Association (MiTDA) malam tadi.

Tourism Pahang berkata, penganugerahan itu membuktikan prestasi cemerlang sektor pelancongan negeri ini serta keyakinan berterusan pelancong terhadap pelbagai produk dan destinasi pelancongan yang ditawarkan di Pahang.

“Selain itu, lapan lagi anugerah turut berjaya dirangkul oleh pemain industri pelancongan Negeri Pahang, iaitu Majlis Bandaraya Kuantan yang menerima tiga anugerah bagi kategori Inisiatif Pembangunan Pelancongan Terbaik, Destinasi Rekreasi Terbaik dan Program Pelancongan Lestari.

“East Coast Mall Kuantan pula menerima anugerah Pusat Membeli-belah Terbaik – Kuantan, manakala LoVita Hotel Kuantan dinobatkan sebagai Hotel Bajet Terbaik – Kuantan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, dalam majlis tersebut, Resort World Genting menerima pengiktirafan sebagai Destinasi Peranginan Bersepadu Terbaik, manakala SkyAvenue turut meraih dua anugerah iaitu Destinasi Tanah Tinggi Terbaik dan Destinasi Percutian Keluarga Terbaik.

Anugerah Kadar Purata Penginapan Tertinggi Terbaik di Malaysia diterima Pengurus Besar Tourism Pahang, Nor Zahira Muhammad Azmi yang mewakili Kerajaan Negeri Pahang.

Nor Zahira dilapor berkata, pencapaian itu merupakan hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pengusaha pelancongan serta semua pemain industri yang sentiasa komited dalam memperkukuh sektor pelancongan negeri.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar satu penghormatan kepada Pahang, malah menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh usaha pembangunan dan promosi pelancongan.

“Tourism Pahang akan terus bekerjasama dengan semua pihak dalam memperkasa produk pelancongan negeri serta meningkatkan daya saing Pahang sebagai destinasi pelancongan pilihan di Malaysia dan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pengiktirafan itu katanya, turut menjadi pemangkin kepada usaha berterusan Tourism Pahang dalam memperkukuh promosi pelancongan negeri sempena kempen Visit Malaysia 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast