PROGRAM Dermasiswa B40 (DB40) yang ditawarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak 2016 merupakan salah satu inisiatif kerajaan yang paling berkesan dalam membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Sehingga tahun 2023, seramai 24,919 pelajar telah menerima manfaat daripada program ini dengan peruntukan keseluruhan RM111.1 juta. Pengarang sendiri merupakan antara penerima manfaat program ini.
Namun begitu, terdapat satu kelemahan besar dalam program ini, yakni ia hanya terhad kepada pelajar lepasan SPM yang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma, terutamanya dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan untuk meluaskan program ini kepada pelajar peringkat ijazah sarjana muda.
Kelemahan utama DB40 ialah ia hanya memberi tumpuan kepada pelajar diploma, manakala pelajar B40 yang layak melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda tidak mempunyai akses kepada tajaan seumpama ini. Padahal, kos pengajian di peringkat ijazah jauh lebih tinggi.
Yuran pengajian bagi program ijazah sarjana muda di IPTA yang disubsidi 90% hingga 95% oleh kerajaan masih meninggalkan beban kewangan yang ketara. Di luar yuran, kos sara hidup pelajar universiti dianggarkan antara RM40,000 hingga RM60,000 sepanjang empat tahun pengajian.
Persoalannya, mengapa bantuan dermasiswa tanpa ikatan pinjaman ini hanya untuk pelajar diploma? Pelajar B40 di peringkat ijazah sarjana muda pula terpaksa bergantung kepada pinjaman PTPTN yang perlu dibayar balik, walaupun kadar pembiayaan untuk pelajar IPTA hanya sekitar RM6,180 hingga RM6,650 setahun, jumlah yang sering tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup.
Walaupun kerajaan telah memperkenalkan pengecualian bayaran balik PTPTN kepada graduan B40 yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama, ini hanya memberi manfaat kepada segelintir pelajar yang cemerlang, bukan kepada majoriti pelajar B40 yang sekadar ingin menamatkan pengajian tanpa dibebani hutang.
Terdapat jurang yang jelas dalam ekosistem bantuan pendidikan kerajaan. Di satu sisi, DB40 menawarkan dermasiswa penuh tanpa ikatan untuk pelajar diploma. Di sisi lain, pelajar B40 di peringkat ijazah sarjana muda hanya layak mendapat pinjaman PTPTN, kecuali segelintir yang terpilih untuk Program Sulung, yang terhad kepada “individu pertama daripada keluarga B40 yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda”, bermakna adik-beradik yang berikutnya tidak layak. Bukankah lebih adil jika pelajar B40 di peringkat ijazah juga mendapat akses kepada dermasiswa seperti yang dinikmati oleh pelajar diploma?
Hujah bahawa program ini perlu diluaskan bukan sekadar soal keadilan, tetapi juga soal keberkesanan dasar. DB40 telah terbukti berjaya—ia dibiayai penuh oleh Kerajaan Persekutuan tanpa ikatan pembayaran balik, dengan matlamat meningkatkan akses pendidikan tinggi dan latihan kemahiran kepada pelajar B40. Jika program ini berkesan untuk pelajar Diploma, mengapa tidak diperluaskan kepada pelajar ijazah sarjana muda yang juga daripada golongan B40?
Negara memerlukan lebih ramai graduan ijazah dalam pelbagai bidang, bukan hanya dalam TVET. Dengan meluaskan DB40 ke peringkat ijazah, kerajaan dapat melahirkan lebih ramai profesional B40 dalam pelbagai bidang—dari kejuruteraan dan sains kepada pendidikan dan sains sosial—yang mampu meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga mereka secara lebih signifikan.
Kerajaan telah menunjukkan komitmen terhadap pendidikan golongan B40 melalui pelbagai inisiatif seperti peruntukan RM15 juta untuk Program Dapur Siswa Madani dan Program Sulung di universiti awam. Namun, langkah-langkah ini masih bersifat sekunder berbanding dengan keperluan asas pelajar B40 untuk menampung kos pengajian dan sara hidup secara menyeluruh. Dermasiswa tanpa ikatan adalah penyelesaian yang lebih mampan dan berkesan berbanding pinjaman yang membebankan atau bantuan makanan yang bersifat sementara.
Cadangan ini bukanlah sesuatu yang mustahil. JPA telah pun melaksanakan DB40 selama hampir sedekad dengan rekod prestasi yang kukuh. Apa yang diperlukan hanyalah hasrat politik untuk memperluaskan skop program ini kepada peringkat ijazah sarjana muda. Peruntukan tambahan mungkin diperlukan, tetapi ia adalah pelaburan yang berbaloi, iaitu melahirkan graduan B40 yang tidak terbeban hutang, seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara dan memutuskan rantaian kemiskinan dalam jangka panjang.
Kesimpulannya, Dermasiswa B40 adalah antara program kerajaan yang paling berkesan dalam membantu golongan B40. Akan tetapi, keberkesanannya terhad kerana skopnya yang sempit. Jika kerajaan benar-benar komited untuk memastikan tiada pelajar B40 tercicir daripada pendidikan tinggi akibat kekangan kewangan, maka sudah tiba masanya DB40 diluaskan ke peringkat ijazah sarjana muda. Pelajar B40 di peringkat diploma layak mendapat dermasiswa — mengapa pelajar B40 di
peringkat ijazah tidak?
Oleh: Mustaqim Badrul Hisham,
Graduan pentadbiran awam dan seorang advokat hak mahasiswa yang aktif dalam Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI), Kolektif Mahasiswa UiTM (KMUiTM), dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM).
















