KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ihsan Haiwan Malaysia (Shelter Ihsan) meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap kenyataan Majlis Perbandaran Taiping (MPT).
Menerusi satu kenyataan, Shelter Ihsan berkata, MPT dilihat hanya mengulangi penjelasan terdahulu tanpa menjawab persoalan asas yang telah dibangkitkan NGO, aktivis serta masyarakat awam berhubung kebajikan tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini berada di Zoo Tennoji, Jepun.
Menurutnya, MPT tidak seharusnya terus menutup persoalan berhubung isu kebajikan gajah berkenaan dengan sekadar menggunakan kenyataan media yang sama secara berulang kali tanpa mengemukakan sebarang bukti kukuh.
“Jika MPT benar-benar yakin kebajikan DAK terjamin, perkara tersebut wajib dibuktikan menerusi fakta serta pemeriksaan bebas dan bukannya sekadar bergantung kepada kenyataan media rasmi semata-mata.
“Antara persoalan utama yang sehingga kini masih belum dijawab adalah membabitkan kemudahan tempat berteduh dan kualiti air kolam yang didakwa berkeladak.
“Adakah tempat berteduh yang disediakan mencukupi untuk ketiga-tiga gajah terbabit terutamanya ketika cuaca panas terik dan hujan, di samping perlu mengemukakan data, ukuran serta penilaian bebas bagi mengesahkannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, mengenai keadaan air kolam yang kelihatan keruh dan berkeladak, Shelter Ihsan memohon penjelasan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan air berkenaan termasuk rekod ujian kualiti air dan pemantauan suhu air kolam ketika cuaca panas terik.
“Kaedah penjagaan gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah adalah menempatkan mahut secara berterusan bagi memahami perubahan tingkah laku haiwan tersebut.
“Adakah perkara sama dilakukan di Zoo Tenonoji? Keadaan ini membimbangkan selepas satu visual yang menunjukkan gajah berinteraksi dengan jaring yang berisiko tertelan serta rakaman menunjukkan gajah bermain dengan rantai besi.
“Walaupun bahan visual tersebut tidak membuktikan kecederaan secara langsung, risiko keselamatan sedemikian sepatutnya disiasat dan tidak dipandang ringan oleh pihak pengurusan,” menurut kenyataan itu lagi.
Selain itu, keadaan kawasan kurungan yang ditunjukkan dalam bahan visual turut dilihat gersang, tandus dan menyerupai padang pasir berbanding persekitaran semula jadi yang kaya dengan tumbuhan serta tempat berteduh.
“Pokok dan sumber makanan semula jadi dilihat sangat terhad, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai standard habitat yang digunakan MPT untuk menganggap keadaan itu sesuai.
“Berkenaan isu struktur gantungan yang disediakan sebagai latihan atau penggayaan gajah meragut makanan, dakwaan mendapati struktur tersebut tidak menyediakan makanan yang mencukupi sehingga gajah dilihat cuba menggigit atau memakan bahan pada struktur berkenaan, yang boleh menimbulkan risiko keselamatan jika tidak dinilai oleh pakar tingkah laku haiwan,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, Shelter Ihsan mendesak agar MPT membenarkan pasukan penyiasat bebas dan pakar tingkah laku hidupan liar untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan memberikan akses menilai keadaan persekitaran, sumber air, makanan, tempat berteduh, keselamatan serta rekod veterinar gajah-gajah berkenaan secara profesional dan telus.
Jelasya, tuntutan ini dibuat bukan untuk mencari perbalahan dengan MPT, sebaliknya demi memikul amanah menjaga khazanah negara, kerana tiga ekor gajah Malaysia tersebut bukan sekadar angka dalam rekod, sebaliknya kebajikan mereka adalah tanggungjawab yang perlu dipertanggungjawabkan kepada seluruh rakyat Malaysia. -MalaysiaGazette
















