Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

KUANTAN – Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mempersoalkan maklumat berhubung cadangan penjualan aset milik agensi itu di London yang didakwa sampai ke pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Shabery berkata, sepanjang tempoh beliau menerajui Felda sehingga akhir Jun lalu, tidak pernah ada permohonan untuk menjual mana-mana hotel milik Felda di London dikemukakan kepadanya.

Katanya, Felda mempunyai empat aset hartanah di London membabitkan dua hotel dan dua penempatan pelajar, sekali gus memerlukan penelitian terperinci bagi mengelakkan kekeliruan mengenai nilai sebenar setiap aset atau keseluruhan portfolio.

“Tidak ada satu pun permohonan menjual hotel Felda di London dibuat semasa saya berada di Felda. Tak tahulah kalau selepas saya meninggalkan Felda pada akhir Jun lalu.

“Lagi pun Felda ada empat aset hartanah di sana, dua hotel dan dua penempatan pelajar,” katanya.

Lebih menarik perhatian, Ahmad Shabery turut menegaskan tiada satu pun daripada empat hartanah berkenaan yang setahunya dibeli secara tunggal pada harga £160 juta.

Kenyataan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai maklumat yang menjadi asas kepada cadangan penjualan aset Felda di London sehingga mendapat perhatian Perdana Menteri.

“Saya bimbang PM disalah nasihat atau ada yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.

Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan mendedahkan beliau enggan menandatangani dokumen kelulusan penjualan sebuah hotel milik Felda selepas mendapati aset itu dicadangkan untuk dijual pada harga £100 juta, sedangkan harga pembeliannya dikatakan £160 juta.

Anwar kemudian mengarahkan pengurusan Felda menyediakan laporan lengkap mengenai cadangan berkenaan supaya kedudukan aset dan justifikasi penjualannya dapat diteliti dengan sewajarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery menjelaskan, keputusan berkaitan penjualan aset Felda bukan semata-mata dibuat oleh pihak pengurusan agensi berkenaan, sebaliknya melibatkan arahan serta proses kerajaan.

“Menjual aset adalah arahan dari atas, Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Penasihat kepada Jabatan Perdana Menteri. Ini adalah langkah standard kerajaan,” katanya.

Ahmad Shabery turut menegaskan, kedudukan sebenar empat aset Felda di London perlu diperincikan terlebih dahulu, terutama bagi membezakan antara nilai pembelian sesuatu hartanah secara individu dengan nilai keseluruhan portfolio aset Felda di bandar berkenaan.

Menurutnya, perincian itu penting supaya tidak berlaku perbandingan atau kesimpulan yang mengelirukan berhubung harga pembelian dan cadangan nilai jualan.

Persoalan kini ialah siapa yang mengemukakan cadangan penjualan tersebut, aset mana yang dimaksudkan dan bagaimana angka £160 juta serta £100 juta itu dikira.

Penjelasan terperinci mengenai perkara itu dijangka dapat merungkai kekeliruan berhubung kedudukan sebenar aset Felda di London, selain memastikan sebarang keputusan pelupusan dibuat berdasarkan maklumat lengkap dan kepentingan peneroka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast