BANGI – Keputusan Nurul Izzah Anwar untuk berundur daripada jawatan Timbalan Presiden PKR dijangka memberi kesan kepada parti itu, kata Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari.
Bagaimanapun, katanya, ketiadaan Nurul Izzah tidak menjejaskan kelancaran pentadbiran Kerajaan Perpaduan kerana PKR mempunyai barisan kepimpinan berkaliber yang mampu mengambil alih tanggungjawab berkenaan selepas parti memberikan amanah kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Lagipun, menurut beliau, Nurul Izzah tidak memegang sebarang jawatan eksekutif dalam kerajaan atau mana-mana kementerian.
“Parti telah memberikan amanah kepada Datuk Seri Saifuddin dan saya rasa ia boleh ditangani dalam masa terdekat.
“Untuk kerajaan, saya rasa tidak begitu memberi impak kerana beliau tidak mempunyai posisi eksekutif dalam kerajaan atau kementerian.
“Semuanya masih lagi intact (utuh) serta boleh bekerja untuk melaksanakan polisi sehingga akhir 2027 bagi melengkapkan tempoh Kerajaan Perpaduan ataupun kerajaan gabungan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Konsortium Ekologi Manusia ASEAN (AHEC) sempena Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia II (HEIC-II) 2026, hari ini.
Mengulas sama ada keputusan Nurul Izzah itu dibuat secara mengejut, Amirudin berkata, spekulasi mengenainya sudah lama timbul dalam kalangan pemain politik, namun keputusan itu hanya dikemukakan sekarang.
Katanya, keputusan berkenaan perlu dihormati dan tidak wajar mana-mana pihak memaksa Nurul Izzah sekiranya beliau mempunyai beberapa kekangan peribadi yang perlu ditangani.
“Saya rasa spekulasi dah timbul lama oleh pemain-pemain politik dan saya dengar-dengar juga. Cuma hal itu baru dikemukakan sekarang dan beliau juga kena melihat masa dan kita kena hormati sebab tak guna kita memaksa beliau di saat beliau ada beberapa kekangan yang perlu ditangani secara peribadi,” jawab Amirudin lagi.
Sebelum ini, Amirudin memaklumkan Nurul Izzah sudah menyatakan hasrat kepada kepimpinan untuk meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.
Namun, kepimpinan parti sibuk dengan persediaan serta kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan juga Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, Nurul Izzah kekal dengan jawatan itu hingga bercuti sementara selepas berakhirnya Kongres Nasional Keadilan di Melaka pada 15 dan 16 Ogos ini. – MalaysiaGazette















