Nga Kor Ming pada sidang media di KLGCC hari ini.

KUALA LUMPUR – Harga rumah mampu milik tidak boleh ditetapkan pada satu kadar yang sama di seluruh negara kerana tahap pendapatan dan kemampuan rakyat berbeza mengikut lokaliti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penetapan satu harga seperti RM300,000 untuk menentukan kategori rumah mampu milik tidak semestinya sesuai bagi semua kawasan.

Menurutnya, harga rumah mampu milik di Lembah Klang misalnya boleh berada sekitar RM500,000 berdasarkan pendapatan dan keadaan setempat, manakala di Kuala Krai, Kelantan pula sekitar RM300,000.

Katanya, perbezaan itu menunjukkan penentuan harga perlu mengambil kira pendapatan penduduk di sesuatu lokaliti, wilayah dan jenis kawasan supaya ia benar-benar mencerminkan kemampuan rakyat.

“Kita tidak boleh menggunakan satu harga untuk semua kawasan kerana pendapatan setiap lokaliti adalah berbeza.

“Jadi, kita perlu melihat pendapatan setempat supaya harga rumah mampu milik benar-benar mencerminkan realiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 di KLGCC Convention Centre di sini hari ini.

Kor Ming berkata, pendekatan itu juga akan membantu pemaju menentukan jenis kediaman yang perlu dibangunkan serta harga yang bersesuaian dengan keperluan penduduk di sesuatu kawasan.

Menurutnya, kerajaan mahu memastikan rumah yang dibina mempunyai permintaan sebenar dan bukan sekadar memenuhi sasaran pembinaan semata-mata.

Bagi tujuan itu, analitik data raya dan kecerdasan buatan (AI) akan digunakan untuk membantu kerajaan menilai keadaan pasaran serta keperluan perumahan mengikut kawasan.

Katanya, data itu boleh membantu menentukan jenis kediaman, harga serta lokasi yang bersesuaian, selain mengenal pasti kawasan yang sudah mempunyai lebihan bekalan.

Sekiranya sesuatu zon didapati mempunyai bekalan rumah yang berlebihan, kerajaan boleh memperlahankan pembangunan baharu bagi mengelakkan lebih banyak unit tidak terjual.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, kemampuan membeli bukan satu-satunya faktor yang mempengaruhi kadar pemilikan rumah termasuk dalam kalangan M40 dan golongan muda.

Menurutnya, perubahan gaya hidup turut menyaksikan sebahagian generasi muda memilih untuk menyewa berbanding membuat komitmen membeli kediaman.

Beliau merujuk kajian Institut REHDA yang mendapati kira-kira 24 peratus responden memilih untuk menyewa bagi mengelakkan komitmen pinjaman dan mengekalkan lebih banyak pendapatan boleh guna.

Justeru, katanya, dasar perumahan perlu mengambil kira perubahan corak kehidupan masyarakat, selain memastikan harga hartanah tidak meningkat secara mendadak sehingga membebankan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast