SHAH ALAM – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) tidak sihat yang mencecah 153 di Johan Setia, Selangor dipercayai berpunca daripada jerebu rentas sempadan merupakan amaran serius bahawa keadaan jerebu kini semakin menghampiri negara.
Timbalan Pengerusi Wanita MCA Selangor, Tee Hooi Ling berkata, dengan cuaca panas dan kering ketika ini, penduduk perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan diri.
Lantaran itu beliau menggesa pihak berkuasa tempatan meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka serta mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang

Sehubungan itu, Hooi Ling menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) meningkatkan penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka dan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.
Menurutnya, pembakaran terbuka sememangnya tindakan tidak bertanggungjawab, dan kesannya menjadi lebih buruk ketika jerebu dan cuaca panas melampau kerana boleh menjejaskan lagi kualiti udara serta membahayakan kesihatan awam.
Beliau turut meminta pihak sekolah lebih berhati-hati dan menghentikan aktiviti luar sekiranya bacaan IPU atau keadaan cuaca panas mencapai tahap yang tidak selamat.
“Ibu bapa, guru dan penjaga perlu memastikan kanak-kanak khususnya murid sekolah rendah dan menengah mendapat air secukupnya, mengelakkan pendedahan terlalu lama kepada cahaya matahari serta berehat secukupnya di kawasan teduh atau sejuk.
“Warga emas juga disaran mengurangkan aktiviti luar yang tidak perlu terutama ketika waktu kemuncak cuaca panas,” katanya dalam satu kenyataan.
Hooi Ling berkata, orang ramai boleh mengambil langkah perlindungan termasuk memakai pakaian bersesuaian, topi atau pakaian perlindungan sinaran ultraungu (UV), menggunakan krim pelindung matahari serta memakai pelitup muka apabila kualiti udara semakin merosot.
Dalam keadaan cuaca panas terik, beliau turut mengingatkan pemilik haiwan peliharaan supaya memastikan haiwan berada di kawasan teduh dan mempunyai pengudaraan baik selain sentiasa dibekalkan air minuman bersih.
Katanya, penggunaan air juga perlu dilakukan secara berhemah sepanjang tempoh panas dan kering dengan mengelakkan pembaziran termasuk memastikan pili ditutup dengan sempurna serta segera membaiki sebarang kebocoran.
Hooi Ling yang juga Timbalan Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi MCA turut menggesa Indonesia mengambil tindakan segera dan tegas bagi menangani kebakaran hutan serta tanah gambut di negara itu.
Beliau berkata, Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada 2002 dan diratifikasi Indonesia pada 2015 menetapkan tanggungjawab negara anggota untuk mencegah serta memantau jerebu rentas sempadan, selain menangani kebakaran tanah dan hutan serta mengawal puncanya.
“Indonesia bukan sahaja perlu mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan pembakaran secara haram, tetapi perlu memperhebat usaha memadam dan mengawal kebakaran hutan serta tanah gambut di puncanya.
“Ini penting bagi mengurangkan kesan buruk jerebu terhadap rakyat Indonesia sendiri serta negara jiran di Asia Tenggara termasuk Malaysia,” katanya lagi.
Hooi Ling menegaskan, jerebu dan cuaca panas melampau bukan sekadar isu alam sekitar sebaliknya turut membabitkan kesihatan awam yang memerlukan tindakan bersama.
“Pihak berkuasa perlu meningkatkan penguatkuasaan, Indonesia perlu bertindak dan setiap individu juga mempunyai peranan untuk memastikan Selangor, Malaysia serta Asia Tenggara kekal selamat,” tegas beliau. – MalaysiaGazette
















