Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2025

SHAH ALAM – Pekerja tidak seharusnya takut kehilangan pekerjaan akibat kecerdasan buatan (AI) sebaliknya perlu menguasai teknologi berkenaan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pasaran pekerjaan masa depan.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perubahan teknologi perlu dilihat sebagai peluang meningkatkan produktiviti bukannya ancaman semata-mata.

“Kamu tidak akan hilang pekerjaan kepada AI tetapi kamu akan hilang pekerjaan kepada mereka yang belajar AI dan menguasai AI,” katanya ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS2) di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau mengambil analogi kemunculan komputer peribadi sebelum ini yang menurutnya tidak menyebabkan semua pekerja kehilangan pekerjaan.

Sebaliknya mereka yang gagal menguasai teknologi baharu berisiko ketinggalan, katanya.

Don’t allow yourself to be left behind by AI,” katanya.

Menurut Mohamed Azmin, syarikat yang berjaya mengadaptasi AI berupaya meningkatkan produktiviti, mempercepatkan proses kerja dan berkembang menjadi lebih besar serta menguntungkan.

Katanya, peningkatan produktiviti juga berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Justeru, beliau menggesa Selangor segera mempercepatkan adaptasi AI dalam industri serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja bagi memenuhi permintaan ekonomi berteknologi tinggi.

“Cita-cita sebuah syarikat, industri dan negeri mesti ditingkatkan dengan teknologi semasa, segera adaptasi dengan teknologi AI, tingkatkan produktiviti dan prosperity atau kemakmuran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast