P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin DAP, P. Ramasamy berpandangan masyarakat bukan Melayu tidak akan kembali menyokong parti itu dengan penuh keyakinan sama ada parti membuat keputusan untuk kekal atau meninggalkan Kerajaan Perpaduan.

Presiden Urimai itu mendakwa, masalah DAP bukan sekadar soal sama ada parti itu berada dalam kerajaan atau tidak, tetapi lebih kepada bagaimana perubahan generasi, ideologi dan struktur telah menjejaskan cara parti itu berfungsi.

Menurutnnya, sekadar meninggalkan kerajaan tidak akan secara automatik mengubah DAP daripada sebuah parti yang akur kepada sebuah parti yang agresif dan lantang memperjuangkan kepentingan rakyat.

Kata beliau, DAP pernah mempunyai peluang, tetapi mensia-siakannya kerana terlalu terperangkap dalam kuasa, jawatan dan pelbagai keistimewaan yang datang bersamanya.

“Saya tidak fikir bekas penyokongnya akan memberikan parti itu satu lagi peluang,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Tambah Ramasamy, DAP yang suatu ketika dahulu merupakan sebuah parti politik yang lantang bersuara, kini telah dijinakkan oleh konsesi yang dibuat terhadap kepentingan hegemoni Melayu.

Katanya, dalam pelbagai isu yang menyentuh masyarakat Cina dan India, para pemimpin parti itu lebih memilih untuk berdiam diri daripada memperjuangkan isu-isu tersebut secara tegas dan berterus terang.

Malah, dakwanya, ramai pemerhati politik berpendapat bahawa DAP kini tidak banyak bezanya dengan MCA yang selama ini dicemuhnya.

Ujarnya, DAP juga telah dibelasah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kehilangan beberapa kerusi pada PRN Johor dan kehilangan kerajaan negeri di Negeri Sembilan.

Tambahnya, parti itu kini berada di persimpangan politik yang kritikal, justeru kongres parti itu pada 16 Ogos dilihat sebagai peluang untuk DAP menebus kembali kesilapannya.

Bagaimanapun, ujar Ramasamy, beliau cenderung untuk percaya bahawa para perwakilan DAP akan mengundi untuk terus kekal dalam kerajaan, walaupun dengan beberapa syarat atau batasan.

“DAP perlu kekal dalam kerajaan kerana sebaik sahaja parti itu meninggalkan kerajaan, ia tidak lagi boleh mengimpikan untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan pada masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau, dengan 40 Ahli Parlimen dan lima jawatan menteri dalam kerajaan, DAP sebenarnya mempunyai peluang untuk membawa perubahan demi kepentingan masyarakat bukan Melayu.

Malangnya, kata Ramasamy, DAP gagal dalam usaha tersebut dan kini sedang membayar harga atas kesilapan besar yang telah dilakukannya.

Pada Ahad ini, seramai 4,264 perwakilan DAP akan menentukan sama ada parti itu akan kekal atau keluar daripada Kerajaan Perpaduan menerusi pengundian yang akan dilakukan pada Persidangan Kebangsaan DAP.

Usul sama ada parti itu akan kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal atau sebaliknya akan dibawa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast