Kawasan Bukit Malut. Gambar fail/ Bernama

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah bersedia untuk membangunkan perumahan terancang untuk penduduk Bukit Malut, Langkawi, bagi menyelesaikan isu penempatan di kawasan itu.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata projek itu boleh dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri sekiranya Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat pengambilan tanah di kawasan berkenaan.

“Kalau buat pengambilan (tanah), MKN boleh buat pengambilan, anak syarikat kerajaan negeri boleh bangunkan rumah. Mereka (penduduk) sedia membeli, cuma harga kena dalam kadar bawah RM200,000,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini terdapat kira-kira 1,300 rumah dibina secara tidak terancang, termasuk di atas air sehingga menyukarkan penyaluran bantuan sewajarnya untuk masyarakat di situ.

Baru-baru ini Bernama melaporkan penduduk Bukit Malut berharap pelbagai persepsi negatif yang sekian lama dikaitkan dengan penempatan mereka dihentikan, termasuk dakwaan bahawa kawasan itu menjadi lokasi pendaratan dan penempatan pelarian dari Myanmar. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast