Menteri KPKT, Nga Kor Ming lancar Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026–2035 hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan penyediaan satu juta rumah mampu milik menjelang 2035 menerusi Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026–2035 yang dilancarkan hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, dasar baharu itu akan menjadi hala tuju pembangunan sektor perumahan negara bagi tempoh 10 tahun akan datang dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada pembinaan rumah, tetapi juga kualiti kehidupan penghuninya.

Menurutnya, DRN 2026–2035 menggariskan enam fokus, 17 strategi dan 59 pelan tindakan termasuk memastikan harga rumah mampu milik lebih selaras dengan pendapatan serta keperluan penduduk setempat.

Dasar itu turut memberi perhatian kepada isu ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan rumah yang selama ini antara faktor menyumbang kepada lambakan kediaman tidak terjual.

Bagi tujuan itu, KPKT akan memanfaatkan analitik data raya dalam merancang pembangunan perumahan berdasarkan permintaan sebenar di sesuatu kawasan.

Pada masa sama, beberapa kaedah akan diperluaskan bagi membantu rakyat memiliki kediaman termasuk Skim Sewa untuk Milik (RTO), Pemilikan Bersama, Pembiayaan Perumahan Kadar Tetap (FRM) dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

Kerajaan juga akan menggubal Akta Sewaan Kediaman bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih telus, selamat dan seimbang.

Selain itu, perlindungan kepada pembeli rumah akan diperkukuhkan menerusi pelaksanaan secara berfasa sistem Bina Kemudian Jual (BKJ), penggubalan Akta Pemaju Harta Tanah baharu serta pengenalan mekanisme Option to Purchase dan Sunset Clause.

DRN 2026–2035 turut memberi tumpuan kepada pembangunan berorientasikan transit (TOD), penggunaan teknologi pembinaan moden dan pensijilan hijau.

Aspek perumahan untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) turut diberikan perhatian selain penambahbaikan pengurusan kediaman strata.

Kor Ming berkata, dasar berkenaan membawa pendekatan ‘Pemerkasaan Kemanusiaan dalam Perumahan’ atau Humanising Housing yang melihat perumahan bukan semata-mata dari sudut menyediakan tempat tinggal.

“Perumahan yang berkualiti bukan sekadar menyediakan tempat berteduh, malah menjadi asas kepada pembentukan keluarga yang sejahtera, komuniti yang harmoni dan pembangunan negara yang mampan.

“KPKT akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, institusi kewangan, pemaju hartanah serta semua pihak berkepentingan.

”Ini bagi memastikan setiap inisiatif di bawah DRN 2026–2035 dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat nyata kepada rakyat,” ujarnya pada majlis pelancaran DRN 2026–2035 di KLGCC Convention Centre di sini hari ini.

Dasar berkenaan turut mengambil kira beberapa cabaran dalam sektor perumahan ketika ini termasuk peningkatan kos sara hidup, perubahan demografi, rumah tidak terjual serta projek perumahan lewat, sakit dan terbengkalai.

DRN 2026–2035 akan menjadi rujukan kementerian, agensi, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pemain industri dalam merancang pembangunan perumahan negara sehingga 2035. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast