TANJONG MALIM, 10 Ogos 2026– Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menerima Anugerah Ikon Rekreasi Luar Outdoor Expo Malaysia (OXN) 2026 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan penglibatan beliau dalam pembangunan industri rekreasi luar di Malaysia sejak lebih 40 tahun lepas.
Md Amin berkata, penghargaan itu bukan semata-mata untuk dirinya, tetapi turut melambangkan pengiktirafan kepada penggiat rekreasi luar di negara ini yang telah menyumbang tenaga, masa dan usaha dalam mengembangkan bidang berkenaan.
“Semoga anugerah ini menjadi manifestasi terhadap jasa dan pengorbanan setiap rakan di luar sana yang telah berkorban tenaga, masa dan usaha dalam menjadikan industri rekreasi luar di Malaysia sebagai penyumbang utama ekonomi negara,” katanya dalama satu kenyataan.
Beliau berkata, sepanjang lebih empat dekad terlibat dalam bidang berkenaan, pelbagai sumbangan telah dilaksanakan bersama rakan seperjuangan, khususnya dalam pembangunan aktiviti arus deras, penganjuran acara, penerbitan bahan rujukan serta pengembangan inisiatif rekreasi luar.
Antara sumbangan beliau termasuk dalam penerokaan dan pelaksanaan aktiviti kayak arus deras di Sungai Bernam pada 1998, Sungai Gopeng (1999), Ulu Slim (2000), Sungai Chamang (2003), Sungai Singor (2006), Upper Sungkai dan Sungai
Woh (2007), selain penerokaan serta pembangunan Sungai KKB dan Sungai Telom.
Beliau turut terlibat dalam penganjuran pelbagai acara termasuk Karnival Kanu Putrajaya, Sirkit Arusderas Nasional (SIRNA), UPSI Eco Challenge, Regatta Kayak UPSI, AKAR Jerlun, UPSI Mountain Bike Jamboree dan Malaysian Whitewater Jamboree.
Dalam aspek penerbitan pula, Md Amin juga menyumbang kepada pembangunan kurikulum dan manual pendidikan kanu kebangsaan, prosedur operasi standard rekreasi luar, buku teori dan model rekreasi luar serta pelbagai manual berkaitan
kejurulatihan, keselamatan, pengurusan risiko dan kemahiran kayak.
Pada masa sama, beliau turut memperkenalkan dan membangunkan beberapa inisiatif rekreasi termasuk Malaysian Outdoor Recreation Conference (MOREC), Adventure Leadership & Outdoor Recreation Academy (AURORA), Marina UPSI, UPSI Glamping Park, Adventure Park, UPSI Campsite, Cabin @ Ujana dan Tourism Muallim.
Md Amin berkata, perjalanan panjang itu turut menyaksikan penglibatan beliau dalam pelbagai pencapaian dan pengiktirafan, antaranya Malaysia Book of Records bagi rekod the highest whitewater kayak descent di Sungai Singor pada 2006, Anugerah Sukarelawan Sukan Negeri Perak (2013), Anugerah Kembara Negara (2014), Anugerah Tokoh Sukan UPSI (2015), Anugerah Tokoh Alumni UPSI (2017), Anugerah Tokoh Rekreasi Luar Kebangsaan (2018) dan Anugerah Tokoh Sukan Kanu Kuala Lumpur (2022).
“Pengiktirafan terbaharu itu menjadi satu penghormatan yang mengingatkan kembali perjalanan panjang bersama rakan seperjuangan dalam usaha membangunkan bidang rekreasi luar di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















