KUANTAN – Perjuangan masyarakat menghayati kemerdekaan ketika ini bukan lagi menentang penjajahan sebaliknya memastikan keamanan terus terpelihara, perpaduan kukuh dan negara terus membangun.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, generasi hari ini berhadapan cabaran yang berbeza dan datang dalam pelbagai bentuk.
“Kadangkala ia hadir melalui telefon di tangan kita dalam bentuk berita palsu, fitnah, tohmahan dan permainan persepsi.
“Sebab itu saya nak berpesan kepada tuan-tuan dan puan-puan semua agar jangan mudah percaya sebelum menyemak, jangan mudah menghukum sebelum mengetahui kebenaran dan jangan menjadi penyambung kepada perkara yang boleh memecah-belahkan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 peringkat negeri Pahang di Dataran Raub, Raub malam tadi.
Wan Rosdy berkata, masyarakat dibenarkan mempunyai perbezaan pendapat namun tidak seharusnya perbezaan itu merosakkan persaudaraan serta memusnahkan keharmonian yang telah dibina selama puluhan tahun.
“Alhamdulillah, usaha kita menjaga keharmonian dan perpaduan turut mendapat pengiktirafan apabila Pahang menduduki tangga pertama dalam Indeks Perpaduan Nasional bagi tahun 2025.
“Bagi saya, ini bukan sekadar satu pencapaian. Ini adalah cerminan wajah rakyat Pahang yang selama ini hidup dalam suasana saling menghormati, saling membantu dan saling mempercayai.
“Namun, kejayaan ini bukan untuk kita banggakan sahaja. Ia adalah amanah untuk kita pertahankan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kemerdekaan juga mesti diisi dengan pembangunan yang membawa manfaat kepada rakyat.
Oleh sebab itu pelbagai inisiatif melalui Inisiatif Makmur Pahang dan program-program kerajaan negeri terus dilaksanakan supaya manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat.
Justeru, sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang tahun ini, beliau seluruh rakyat Pahang mengibarkan bendera Malaysia dengan penuh rasa bangga dengan semangat patriotisme dalam jiwa. – MalaysiaGazette
















