KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan pilihan terbaik buat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini adalah kekal dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, ia supaya semua pihak dapat melihat buruknya cara Pas dalam berkawan serta semoga UMNO sedar diri dan tidak syok sendiri.
Bagaimanapun, Mohd Puad mengakui Bersatu kini sebenarnya ibarat `hidup segan, mati tak mahu’ dan akan menjadi seperti parti Berjasa dan Pejuang iaitu kekal wujud dan tidak mati tetapi tiada harga diri.
Sehubungan itu, selain kekal di dalam PN, beliau turut mencadangkan dua pilihan lain kepada Bersatu.
“Pertama, lebih baik bubar Bersatu dan jual kepada sesiapa yang minat.
Contoh Parti Cinta Malaysia (PCM) dijual kepada Hamzah dan kemudian tukar kepada nama baru “Wawasan”.
“Kedua, tubuh gabungan baru. Tetapi carilah rakan komponen yang ada pengaruh.
“Ketiga, terus kekal dalam PN dan cari helah kuasai semula PN,” katanya.
Ketika ini, kedudukan Bersatu di dalam PN disifatkan berada di hujung tanduk selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu terkeluar secara automatik daripada gabungan politik tersebut susulan hasrat untuk membentuk gabungan baharu.
Abdul Hadi berkata, PN tidak perlu membuat pemberitahuan secara rasmi kepada Bersatu berhubung kedudukannya dalam gabungan itu kerana parti berkenaan dianggap terkeluar dengan sendirinya selepas menyatakan hasrat untuk membentuk gabungan lain.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan menolak kenyataan Abdul Hadi itu dan menegaskan parti berkenaan masih merupakan anggota sah PN memandangkan tiada mana-mana fasal dalam Perlembagaan PN yang memperuntukkan keanggotaan parti anggota tergugur dengan sendirinya. – MalaysiaGazette















