Gambar IPD Maran

MARAN – Polis mahu saksi kemalangan membabitkan sebuah bas dan sebuah lori treler di jalan besar Jengka 18 di sini kira-kira 6.16 petang semalam untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kemalangan itu mengakibatkan pemandu bas  dan tiga penumpangnya iaitu pelajar tahfiz Bandar Pusat Jengka cedera.

“Hasil siasatan awal mendapati, treler dalam perjalanan dari arah Kampung Awah menghala ke Bandar Jengka.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, treler itu dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan dan mengakibatkan bas dinaiki 21 guru dan pelajar tahfiz berkenaan tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian tepi sebelah kiri treler,” katanya dalam kenyataan.

Kim Wai berkata, pemandu bas dan tiga penumpangnya dilaporkan mengalami kecederaan akibat terkena serpihan kaca dalam kemalangan tersebut, manakala penumpang lain tidak cedera.

Katanya, pemandu treler juga tidak mengalami kecederaan.

“Sehingga kini, tiada saksi yang tampil membantu siasatan di bawah Rule 10 LN 166/59. Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Justeru, mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian itu diseru tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Maran, Sjn Nuralisa Mohamad di talian 011-62262479 atau hadir ke balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast