Foto: Kyodo

NAGANO (Jepun) – Polis tempatan di wilayah Nagano, tengah Jepun pada Ahad memaklumkan sebuah jambatan sementara telah dibina bagi membolehkan kira-kira 390 orang yang terkandas di sebuah pusat peranginan akibat tanah runtuh malam sebelumnya meninggalkan kawasan berkenaan, lapor Kyodo News.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu yang memutuskan satu-satunya jalan menuju ke pusat peranginan mata air panas Nakabusa Onsen di Azumino.

Kawasan mata air panas itu turut menjadi lokasi popular sebagai titik permulaan pendakian, manakala mereka yang terkandas terdiri daripada tetamu hotel serta pendaki yang menginap di pondok gunung, menurut polis.

Kerajaan wilayah memaklumkan tanah runtuh itu merosakkan sebuah jambatan di jalan yang menghubungkan pusat peranginan berkenaan dengan kawasan tengah Azumino.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun, Azumino menerima hujan lebat dengan taburan 50 milimeter dalam tempoh sejam pada malam Sabtu. – BERNAMA-KYODO

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast