Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan, Datuk Seri Amirudin Shari

BANGI – Pakatan Harapan (PH) tidak menutup kemungkinan untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya ia dilihat mampu menjamin kestabilan politik dan memberi manfaat kepada rakyat, kata Datuk Seri Amirudin Shari.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) itu bagaimanapun  berkata, setakat ini belum wujud sebarang perbincangan serius, terbuka atau rasmi antara PH dan Bersatu di Selangor berkaitan perkara berkenaan.

“Masih tidak ada lagi perbincangan serius ataupun perbincangan terbuka ataupun perbincangan rasmi. Mungkin ada usik-mengusik ketika sesi dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Konsortium Ekologi Manusia ASEAN (AHEC) sempena Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia II (HEIC-II) 2026 hari ini.

Menurut Amirudin, PH mempunyai kekuatan sendiri untuk mentadbir sekiranya berlaku sebarang perubahan dalam kerajaan peringkat Persekutuan namun kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) boleh dipertimbangkan jika keadaan memerlukan.

Sebarang bentuk kerjasama juga perlu dilihat secara rasional, termasuk tempoh dan keadaan politik menjelang pilihan raya, sebelum sebarang keputusan dapat dibuat.

“Prinsipnya adalah untuk kestabilan politik dan kebaikan atau kemakmuran rakyat. Dua prinsip ini harus dijadikan asas kalau ada diskusi atau perbincangan ke arah tersebut,” katanya.

Amirudin berkata, beliau juga tidak boleh membuat keputusan berhubung perkara itu secara bersendirian kerana sebarang cadangan perlu dibawa kepada kepimpinan PKR dan PH di peringkat pusat untuk dipertimbangkan.

Mengulas spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama berkenaan, Amirudin berkata, perkembangan politik peringkat nasional dan negeri termasuk pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini turut membuka ruang kepada pelbagai andaian dalam kalangan pemain politik.

“Banyak bomoh politik ini buat spekulasi. Harap bomoh itu jadi ke tak jadi, kita doalah,” katanya secara berseloroh.

Beliau pada masa sama menegaskan, buat masa ini tiada apa-apa perbincangan rasmi mengenai kerjasama PH dengan Bersatu, justeru sebarang spekulasi mengenainya perlu dilihat sebagai andaian sehingga wujud keputusan atau perkembangan sebenar daripada kepimpinan parti.

Sebelum ini, laporan media mendedahkan wujud rundingan antara pemimpin Bersatu Selangor dengan gabungan tersebut bagi menentukan hala tuju mereka di Selangor.

Malah Mei lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata parti itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa parti itu akan kembali bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bersatu jelas Azmin turut menangkis fitnah wujud pertemuan dan perbincangan antara pimpinan parti tersebut dengan PKR untuk maksud mewujudkan kerjasama dengan PH.

Dalam sidang media sama, Amirudin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dijangka tetap hadir pada Kongres Nasional PKR yang berlangsung bermula 13 Ogos ini.

Menurut Amirudin, beliau tidak pasti sama ada Presiden PKR itu akan menghadiri keseluruhan program kongres berikutan prosedur kesihatan yang perlu dijalaninya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast