Logo Universiti Teknologi MARA di Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 12 DISEMBER 2024

 

KUALA LUMPUR – Mahasiswa tidak seharusnya dipaksa mengambil alih tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan peruntukan
kebajikan pelajar, kata Suara Siswa UiTM.

Pandangan itu disuarakan Suara Siswa UiTM susulan kempen kutipan dana yang dijalankan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Kelantan.

Suara Siswa UiTM berkata, pihaknya menghargai keprihatinan dan inisiatif MPP serta pihak lain yang berusaha membantu mahasiswa dalam menghadapi tekanan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup, namun, usaha sebegini tidak seharusnya menjadi penyelesaian utama kepada masalah kebajikan mahasiswa.

“Suara Siswa UiTM tidak menolak sumbangan masyarakat atau usaha kebajikan yang digerakkan oleh mahasiswa. Namun, kutipan dana tidak boleh dinormalisasikan sehingga menjadi mekanisme utama untuk memenuhi keperluan kebajikan mahasiswa.

“Isu kebajikan mahasiswa perlu ditangani melalui penyelesaian dasar dan peruntukan yang berterusan, bukannya bergantung kepada belas ihsan orang ramai,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Suara Siswa UiTM menegaskan, kerajaan dan pihak pengurusan universiti perlu memastikan peruntukan yang mencukupi dan berterusan bagi memenuhi keperluan mahasiswa.

“Keperluan asas mahasiswa termasuk makanan, penginapan, kemudahan pembelajaran dan bantuan kewangan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan dalam memastikan pendidikan tinggi dapat diakses dalam keadaan yang selamat dan bermaruah.

“Kebergantungan kepada kutipan dana awam juga tidak dapat menjamin kelangsungan bantuan kerana sifatnya yang tidak tetap, selain berisiko memindahkan beban kewangan kepada mahasiswa dan masyarakat,” tambahnya.

Lagipun, katanya, mahasiswa hadir ke universiti untuk mendapatkan pendidikan, bukannya menjadi pengutip dana bagi menampung kekurangan peruntukan kebajikan.

Lantaran itu, Suara Siswa UiTM meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi perhatian serius terhadap keperluan belanjawan UiTM, khususnya dalam memastikan kebajikan mahasiswa tidak bergantung kepada sumbangan awam atau kutipan dana oleh organisasi pelajar.

Katanya, kerajaan perlu melihat pendidikan tinggi sebagai pelaburan jangka panjang dan memastikan bajet yang mencukupi disediakan bagi menjamin kualiti Pendidikan serta kebajikan mahasiswa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast