Exco Perumahan & Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah

SHAH ALAM – Sebanyak 52,750 unit Rumah Selangorku menerusi 167 projek telah siap dibina dan diserahkan kepada pembeli sehingga pertengahan tahun ini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, pencapaian itu menunjukkan pelaksanaan agenda perumahan mampu milik negeri berada pada landasan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Selain projek yang telah siap, sebanyak 34,287 unit membabitkan 68 projek kini masih dalam pembinaan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Yew Jia Haur (PH-Teratai) yang bertanyakan kepada Menteri Besar Selangor tentang status terkini pembinaan dan penyerahan unit Rumah Selangorku sehingga pertengahan 2026

Borhan juga berkata, kerajaan negeri juga memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap pemaju yang gagal mematuhi jadual pelaksanaan khususnya projek mengalami kelewatan atau dikategorikan sebagai projek sakit.

“Melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), tindakan intervensi meliputi aspek pemantauan, penguatkuasaan dan pentadbiran dilaksanakan bagi memastikan projek bermasalah dapat dipulihkan dan disiapkan mengikut perancangan.

“Antara tindakan yang boleh diambil termasuk mengeluarkan notis pematuhan, mengarahkan pelaksanaan pelan pemulihan, arahan henti kerja serta mendaftarkan kaveat bagi melindungi kepentingan pembeli,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan negeri mempergiat usaha menyediakan lebih banyak rumah mampu milik berharga di bawah RM250,000 menerusi pelaksanaan Dasar Rumah Selangorku 3.0.

“Dasar berkenaan menetapkan komposisi penyediaan Rumah Selangorku berdasarkan zon dan keluasan pembangunan bagi memastikan keperluan perumahan mampu milik dapat dipenuhi mengikut lokasi,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut menyediakan beberapa insentif kepada pemaju, termasuk pengecualian 100 peratus Caj Pemajuan, selain memperkenalkan Dasar Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman MBI Selangor bagi menggalakkan pembinaan lebih banyak rumah mampu milik.

“Langkah itu dilihat penting bagi memastikan pertumbuhan sektor perumahan di Selangor tidak hanya tertumpu kepada pembangunan berharga tinggi sebaliknya turut memberi pilihan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri kini berdepan tugas memastikan sebanyak 34,287 unit masih dalam pembinaan dapat disiapkan mengikut jadual, di samping mengelakkan pembeli daripada terus menanggung kesan kelewatan projek.

“Kerajaan negeri menegaskan tindakan terhadap pemaju akan dilaksanakan mengikut peruntukan dan kesesuaian setiap projek bagi memastikan kepentingan pembeli Rumah Selangorku terus dilindungi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast